Kadangkala, perkara yang tidak disengajakan ketika menggunakan aplikasi WhatsApp selain daripada salah taip dan salah hantar mesej boleh mencetuskan situasi yang lucu dan akan dikenang pada masa hadapan.
Itulah yang berlaku apabila seorang individu di Threads, @athirahrosli27 yang dipercayai sedang mencari penjual telur pindang, namun hasil carian WhatsApp yang dipaparkan turut menunjukkan satu nama lain yang cukup mencurigakan.
Menerusi tangkap layar yang dikongsikan, individu berkenaan dilihat menggunakan fungsi carian WhatsApp untuk mencari penjual itu.
Semuanya kelihatan biasa pada awalnya dan hasil cariannya itu kemudian memaparkan satu perbualan dengan kenalan bernama 'Telur Pindang'.
Nak Beli Telur Pindang Tapi Ada Contact Lain Yang Mencurigakan

Menerusi tangkap layar yang sama, niat asal pengguna untuk membeli telur pindang itu tenggelam begitu sahaja apabila mata warga Threads lebih tertumpu pada satu kenalan lain yang terpapar yang dianggap sesuatu yang jarang dilihat dan mengundang tanda tanya, iaitu 'Telinga'.
“Nak beli telur pindang, tapi ada contact lain yang mencurigakan”, seloroh pengguna itu.
Perkara itu mengundang tawa ramai di ruangan komen, selain tidak melepaskan peluang mengusik tentang nama kenalan 'Telinga' berkenaan.
“Akak Pernah Beli Berapa Banyak Telinga Kat Seller Tu?”
Tangkap layar yang menghadirkan seribu-satu tanda tanya itu tidak lari daripada komen-komen lucu pengguna-pengguna Threads yang lain.
Seorang pengguna berseloroh, “Akak pernah beli berapa telinga kat seller tu?”
Selain itu, seorang lagi pengguna berkata pemilihan nama kenalan itu boleh dijadikan atas banyak sebab.
“Banyak tekaan ni sebab Whatsapp kadang-kadang shortformkan nama penuh,” katanya.
Pengguna itu turut berkongsikan tekaannya terhadap pemilihan nama contact tersebut.
“Penjual telinga, penjual pengorek telinga, penjual yang tiada telinga, penjual bertelinga satu, penjual yang pekak kedua-dua belah telinga, penjual mesin urut telinga... ataupun penjual yang nama bapanya 'Telinga'?” tekanya.
Apa-apa pun, tidak dapat dipastikan siapa pemilik nombor berkenaan atau mengapa kenalan tersebut dinamakan dengan nama itu.
Namun, perkara seperti ini membuktikan bahawa kadangkala perkara paling ringkas ketika menggunakan telefon boleh menjadi bahan hiburan apabila dilihat dari sudut yang berbeza.

