Bekas Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming, mengumumkan peletakan jawatan sebagai ahli Parti Tindakan Demokratik (DAP) berkuat kuasa hari ini, 31 Ogos 2026.
Bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu berkata, keputusan berkenaan tidak bermakna beliau akan berhenti berkhidmat demi kepentingan negara.
Menurutnya, walaupun tidak lagi bergelar ahli politik, beliau akan terus menyumbang kepada negara bersama individu yang mempunyai pemikiran serta minat yang sama.
Katanya, antara komitmen yang akan diteruskan termasuk membantu bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, dalam kempen Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), sekiranya Khairy diberi peluang bertanding.
“Saya menulis untuk memaklumkan bahawa saya meletakkan jawatan sebagai ahli Parti Tindakan Demokratik (DAP) berkuat kuasa hari ini, 31 Ogos 2026,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Ong berkata, beliau bersyukur kerana diberi peluang menyumbang kepada DAP dan negara sejak menyertai parti itu pada 2012.
Jelasnya, sepanjang berada dalam DAP, beliau pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Serdang dari 2013 hingga 2018 dan Ahli Parlimen Bangi dari 2018 hingga 2022.
Selain itu, beliau turut pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Menteri MITI dari 2018 hingga 2020, ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat yang dilantik dari 2019 hingga 2022 serta ahli jawatankuasa negeri DAP Selangor yang dipilih dari 2018 hingga 2024.
Dalam hantaran sama, Ong turut menzahirkan penghargaan kepada Tony Pua yang mengajaknya menyertai DAP serta membimbingnya mengenai cara terbaik untuk berkhidmat kepada parti dan negara.
Beliau turut berterima kasih kepada Lim Guan Eng kerana memberi peluang kepadanya untuk dicalonkan bagi kerusi Parlimen Serdang dan Bangi, selain dilantik sebagai Timbalan Menteri ketika Lim memegang jawatan Setiausaha Agung DAP.
“Saya berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan ahli dan pemimpin DAP di Serdang dan Bangi sepanjang penggal saya sebagai Ahli Parlimen dari 2013 hingga 2022, berkhidmat untuk pengundi dan penduduk kawasan berkenaan sebagai wakil rakyat mereka,” katanya.
Sementara itu, Ong mengesahkan beliau tidak mempunyai rancangan untuk menyertai mana-mana parti politik lain dalam masa terdekat.
Ujarnya, beliau juga tidak berhasrat untuk bertanding sebagai calon pada PRU16.
Bagaimanapun, beliau berkata akan tetap menunaikan janji yang dibuat pada 10 Januari lalu untuk membantu Khairy berkempen pada PRU16 sekiranya bekas Menteri Kesihatan itu diberi kerusi untuk bertanding.

