Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Berhadapan dengan pasukan besar dan pemain terkenal bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi jika penampilan pertama di Piala Dunia.
Namun pasukan Cape Verde membuktikan bahawa azam dan semangat yang tinggi boleh membawa mereka kepada perkara yang tidak pernah dijangka.
Walaupun tewas kepada Argentina di pusingan kalah mati, mereka tetap mendapat pujian kerana memberikan saingan yang sengit kepada juara Piala Dunia 2022 itu.
Malah, semangat kesukanan dan kebaikan pasukan itu turut memenangi hati peminat bola sepak.
Antara momen yang mencuri tumpuan adalah ketika pemain-pemain Cape Verde beratur untuk bergambar dengan Lionel Messi.
Menerusi perkongsian warganet di media sosial, Messi 'diserbu' oleh pemain Cape Verde sejurus selepas beliau selesai ditemu bual.
Mereka bergilir-gilir mengambil gambar bersama bintang bola sepak berpengalaman itu.
Manakala, Messi pula dilihat melayan mereka dengan mesra dan tidak lekang senyuman di bibir.
Ramai menganggap ini merupakan salah satu momen manis dalam bola sepak dan dalam masa yang sama turut menyentuh hati. Walaupun Messi di pihak lawan, namun mereka tetap hormat dan mengambil peluang untuk beramah mesra seperti seorang peminat.
Terdahulu, pengurus Cape Verde, Bubista, berkata beliau berasa bangga selepas pasukannya bangkit dalam masa 10 minit untuk memaksa Argentina mara ke penentuan penalti.
"Kami menunjukkan bahawa kami mungkin sebuah negara kecil tetapi kami boleh bermain menentang pasukan terbaik di dunia. Itulah sebab untuk berbangga.
"Dapat bermain seperti yang kami lakukan menentang juara dunia dan menyamakan kedudukan dua kali, adalah sesuatu yang luar biasa," katanya.