Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Petisyen Berkaitan Penyertaan Skuad Argentina Dalam Piala Dunia Didakwa Catat Lebih 23 Juta Tandatangan

Petisyen Berkaitan Penyertaan Skuad Argentina
Kredit: AFP

Petisyen Berkaitan Penyertaan Skuad Argentina Dalam Piala Dunia Didakwa Catat Lebih 23 Juta Tandatangan

Satu petisyen dalam talian yang menggesa pasukan kebangsaan Argentina dikecualikan daripada edisi Piala Dunia FIFA akan datang telah menjadi tular minggu lalu dan didakwa mendapat lebih 23 juta tandatangan.

Menurut portal Marca, petisyen yang dimulakan di laman web Argentina Out itu muncul ketika Piala Dunia 2026.

Mereka berhujah bahawa terdapat dakwaan berat sebelah yang menyaksikan pengadil memihak kepada pasukan Argentina sepanjang kejohanan.

Kempen itu mula mendapat perhatian selepas perlawanan peringkat kumpulan Argentina, sebelum semakin hangat susulan aksi kalah mati menentang Mesir dan berterusan hingga ke pusingan-pusingan penentuan berikutnya.

Ia tercetus selepas beberapa pengguna berkongsi video dan gambar di media sosial yang mendakwa pasukan kebangsaan Argentina menerima layanan istimewa.

Kredit: AFP

Pada awalnya, kempen tersebut hanya menyasarkan lima juta tandatangan.

Namun, menurut data yang diterbitkan oleh pihak penganjur, inisiatif itu berjaya mencatatkan sebanyak 23,316,108 tandatangan.

Petisyen itu ditamatkan selepas kemenangan Sepanyol dalam perlawanan akhir.

“Lebih 23 juta orang dari 170 negara menandatangani petisyen ini dalam tempoh kurang seminggu. FIFA mengabaikan kami, tetapi Sepanyol menyelesaikannya. Terima kasih, Sepanyol,” menurut kenyataan di laman web berkenaan.

Bagaimanapun, di sebalik rasa tidak puas hati yang disuarakan, jumlah tersebut menyaksikan kempen “Argentina Out” hanya kekurangan kira-kira sejuta tandatangan untuk memecahkan Rekod Dunia Guinness.

Untuk pengetahuan, Gerakan Jubilee 2000 yang menuntut penghapusan hutang negara-negara termiskin sebelum bermulanya alaf baharu dilaporkan berjaya mengumpulkan 24,319,181 tandatangan.

Dalam pada itu, menurut portal berkenaan, versi arkib inisiatif tersebut secara jelas memberi amaran bahawa angka yang dipaparkan pada halaman itu merupakan jumlah tontonan dan bukannya jumlah tandatangan yang telah disahkan.

Pihak berkenaan turut menjelaskan bahawa kempen tersebut sekadar mencerminkan pandangan peminat dan tidak mempunyai kaitan dengan FIFA, Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA), mana-mana persekutuan kebangsaan atau pemain yang disebut.

Kempen itu juga tidak membawa maksud bahawa badan induk bola sepak dunia telah membuat sebarang keputusan rasmi.

Pun begitu, FIFA dilaporkan telah membuka siasatan berhubung insiden kekecohan yang berlaku selepas perlawanan akhir menentang Sepanyol.

Beberapa nama pemain Argentina seperti Nahuel Molina dan Leandro Paredes, selain anggota barisan kejurulatihan, turut disebut dalam siasatan itu.

Setakat ini, FIFA masih belum mengumumkan sebarang kemungkinan hukuman. Badan induk bola sepak dunia itu akan menunggu sehingga proses tatatertib selesai sebelum mengeluarkan keputusan rasmi, yang dijangka dibuat paling awal dalam tempoh beberapa minggu.

Sumber:MARCA