Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

“Saddiq Dan Bella Tak Dapat Tunaikan Hajat Tun...” Syed Saddiq Kenang Pertemuan Terakhir Dengan Tun Dr Siti Hasmah

Syed Saddiq kenang pertemuan terakhir
Kredit: Instagram @syedsaddiq

Pemergian Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali turut meninggalkan kesan mendalam kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mengenang kembali pertemuan terakhirnya bersama Allahyarhamah.

Syed Saddiq kenang pertemuan terakhir dengan Tun Dr Siti Hasmah

Menerusi perkongsian di media sosial, Syed Saddiq berkata pertemuan itu pada awalnya tidak terasa seperti sebuah perpisahan, malah mereka sempat meluangkan masa bersama, bergurau, berkongsi cerita serta menerima nasihat daripada Allahyarhamah mengenai perkahwinan, keluarga dan kehidupan.

“Kalaulah saya tahu itu merupakan pertemuan terakhir kita, saya pasti berharap dua jam bersama Tun itu dapat berlangsung selamanya.

“Tun ketawa bersama kami. Bergurau bersama kami. Berkongsi cerita serta memberikan nasihat tentang perkahwinan, keluarga dan kehidupan,” katanya.

Syed Saddiq turut menyifatkan Allahyarhamah sebagai seorang yang baik, lucu, penyayang dan penuh dengan kebijaksanaan hasil pengalaman hidup yang panjang, penuh kasih sayang serta pengorbanan.

Beliau mengakui masih tidak mampu menerima hakikat bahawa Allahyarhamah telah pergi, namun menerima pemergian itu sebagai ketentuan Allah.

“Dan hari ini, Tun sudah tiada. Saya benar-benar masih tidak mampu menghadamnya.

“Namun, ini adalah ketentuan Allah. Kita datang daripada-Nya dan kepada-Nya juga kita kembali,” katanya.

Dalam pada itu, Syed Saddiq turut berterima kasih kepada Allahyarhamah kerana meninggalkan satu kenangan terakhir yang begitu indah buat dirinya dan Bella Astillah.

“Terima kasih kerana memberikan Bella Astillah dan saya satu kenangan terakhir yang begitu indah.

“Terima kasih atas setiap gelak tawa, setiap cerita dan setiap nasihat yang Tun tinggalkan kepada kami,” katanya.

Menurut Syed Saddiq, beliau dan Bella tidak dapat memenuhi hajat Allahyarhamah untuk hadir ke majlis perkahwinan mereka nanti.

Bagaimanapun, beliau berjanji akan membawa segala nasihat yang diberikan Allahyarhamah ke dalam perkahwinan dan kehidupan mereka kelak.

“Saddiq dan Bella tidak dapat memenuhi hajat Tun untuk hadir ke majlis perkahwinan kami nanti.

“Namun, saya berjanji kepada Tun, nasihat Tun akan kami bawa bersama.

“Kami akan menerapkannya dalam perkahwinan kami, dalam rumah tangga kami dan, insya-Allah, sepanjang hayat kami,” katanya.

Dalam perkongsian terdahulu pada 9 September lalu, Syed Saddiq turut berkongsi momen ketika beliau bersama Bella Astillah menyerahkan sendiri kad jemputan perkahwinan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Dr Siti Hasmah.

“Hantar sendiri kad kahwin kepada Tun M dan Tun Hasmah, special guests paling senior dalam senarai, tapi masih pasangan paling muda di hati! ❤️

“Nak masuk alam perkahwinan, mestilah kena minta petua daripada pasangan paling berpengalaman di Malaysia,” katanya dalam perkongsian tersebut.

Syed Saddiq turut mendoakan agar Allahyarhamah ditempatkan di tempat tertinggi di dalam syurga serta mengakhiri perkongsiannya dengan ucapan Al-Fatihah.

“Sehingga kita bertemu lagi, Tun.

“Al-Fatihah,” katanya.

Intipati
  • Syed Saddiq mengenang pertemuan terakhir bersama Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah dengan penuh emosi.
  • Beliau berkata pertemuan itu diisi gurauan, cerita dan nasihat mengenai perkahwinan serta kehidupan.
  • Syed Saddiq berjanji membawa nasihat Allahyarhamah dalam perkahwinan dan kehidupannya bersama Bella Astillah.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan