Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Buat Pertama Kali, Saintis Kesan Isyarat Radio Pelik Dari Planet Luar Sistem Suria

Saintis Kesan Isyarat Dari Luar
Kredit: BBC Sky At Night

Buat pertama kalinya, ahli astronomi berjaya mengesan isyarat radio pelik yang datang dari sebuah planet di luar Sistem Suria.

Memetik The Independent, isyarat itu dikesan ketika ahli astronomi mengkaji ruang angkasa menggunakan rangkaian teleskop MeerKAT di Afrika Selatan.

Penemuan itu menunjukkan bahawa planet berkenaan mempunyai medan magnet yang sangat kuat, malah dipercayai lebih 1,000 kali ganda berbanding Bumi.

Isyarat tersebut datang dari Beta Pictoris b, sebuah planet muda yang terletak kira-kira 64 tahun cahaya dari Bumi.

Saintis Kesan Isyarat Radio Dari Planet di Luar Sistem Solar

Ilustrasi menunjukkan gambaran rupa planet yang berada dalam cakera Beta Pictoris. (The Independent)

Menurut The Independent, Beta Pictoris b adalah gergasi gas dengan jisim kira-kira 12 kali ganda Jupiter dan mengelilingi bintangnya pada jarak yang hampir sama seperti Zuhal mengelilingi Matahari.

Para penyelidik percaya bahawa isyarat radio itu datang daripada aurora di planet tersebut, seperti cahaya utara dan cahaya selatan di Bumi.

Di Bumi, aurora berlaku apabila zarah yang mempunyai cas elektrik bertembung dengan medan magnet planet tersebut.

Pertembungan itu menyebabkan zarah berkenaan menjadi lebih bertenaga sebelum menghasilkan cahaya apabila kembali ke keadaan asal.

Menariknya, penyelidik memerhatikan sistem Beta Pictoris sebanyak empat kali sepanjang 2025 dan 2026.

Setiap kali mereka memerhatikan planet itu, mereka mengesan pancaran radio yang kuat tetapi hanya muncul untuk seketika sebelum hilang dengan cepat.

Mereka kemudian membandingkan lokasi isyarat itu dengan kedudukan bintang dan planet lain yang berada berdekatan.

Hasilnya, mereka dapat memastikan bahawa isyarat tersebut memang datang daripada Beta Pictoris b, bukannya bintang yang mengelilinginya.

Mereka juga mendapati isyarat itu mempunyai ciri yang sama seperti gelombang radio yang dihasilkan oleh aurora.

“Pancaran radio daripada aurora memang pernah dikesan pada planet dalam Sistem Suria dan beberapa bintang yang sangat sejuk.

“Namun, sebelum ini, saintis belum pernah dapat memastikan dengan jelas bahawa pancaran radio itu datang daripada planet di luar Sistem Suria, bukannya bintang yang mengelilinginya,” jelas mereka.

Kekuatan isyarat itu juga mencapai had tertinggi yang boleh dikesan oleh MeerKAT.

Daripada isyarat tersebut, penyelidik menganggarkan bahawa medan magnet Beta Pictoris b mungkin melebihi 1,250 Gauss (unit ukuran magnetism).

Manakala, medan magnet Bumi di permukaannya hanya sekitar 0.5 Gauss, sekali gus menunjukkan bahawa medan magnet di planet berkenaan jauh lebih kuat dari berbanding Bumi.

Para saintis berkata, penemuan ini merupakan kali pertama mereka dapat mengukur secara langsung kekuatan medan magnet sebuah planet di luar Sistem Suria.

“Jika penemuan ini disahkan melalui semakan oleh saintis lain, ia merupakan satu perkembangan yang sangat menarik. Ini pastinya satu hasil yang hebat,” kata ahli astronomi Joe Callingham.

Callingham merupakan ahli astronomi dari Universiti Amsterdam, namun beliau tidak terlibat dalam kajian tersebut.

Penemuan ini juga membantu saintis memahami dengan lebih dekat bagaimana medan magnet dan aurora boleh berlaku pada planet di luar Sistem Suria.

Intipati
  • Ahli astronomi mengesan isyarat radio dari Beta Pictoris b menggunakan teleskop MeerKAT.
  • Isyarat itu dipercayai berpunca daripada aurora dan medan magnet planet yang sangat kuat.
  • Medan magnet Beta Pictoris b dianggarkan mungkin melebihi 1,250 Gauss.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan