Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Satu perkongsian di Threads malam tadi mencuri perhatian ramai apabila seorang wanita meluahkan rasa kecewa selepas mendakwa terpaksa menanggung kerugian walaupun menjadi mangsa dalam satu kemalangan.
Menerusi hantaran tersebut, pengguna Threads dikenali sebagai @shashaharudin_ berkata, dia masih tidak dapat menerima hakikat bahawa diskaun tanpa tuntutan (NCD) miliknya dipotong walaupun keretanya dilanggar ketika diparkir.
Menurutnya, proses pembaikan kenderaan sudah selesai namun isu tuntutan insurans menjadi rumit selepas individu yang melanggarnya membuat laporan mendakwa mengalami kecederaan.
“Aku still tak boleh brain satu benda ni. Kereta aku kena langgar masa parking. Bukan salah aku. Repair dah siap.
“Tapi NCD aku tetap kena potong sebab orang yang langgar tu report dia sakit akibat kemalangan. Akhirnya aku yang tanggung rugi walaupun aku mangsa,” katanya.
Dalam hantaran susulan, wanita itu berkata dia lebih terkilan apabila individu terbabit pada awalnya didakwa menolak bantuan ambulans di lokasi kejadian dengan alasan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, keadaan menjadi lebih pelik apabila individu sama kemudian membuat laporan menyatakan dirinya cedera.
“Yang I tak boleh brain, masa kejadian kami dah call ambulans tapi dia sign tolak sebab cakap tak sakit.
“Tapi dalam report dia tulis dia sakit. Sekarang dia dah block I tanpa rasa bersalah,” katanya lagi.
Berdasarkan video yang dikongsikan, kejadian melibatkan dua buah kenderaan iaitu sebuah Proton Saga dan Proton S70 yang dipercayai dipandu laju sebelum berlaku pelanggaran sekitar pukul 8.30 pagi di sebuah lokasi.
Menurut mangsa, ketika kejadian keretanya berada dalam petak parkir yang sah dan tidak bergerak.
Menjengah ke ruangan komen, ramai netizen berkongsi pengalaman hampir sama selain menjelaskan prosedur tuntutan insurans yang mungkin tidak diketahui ramai.
Seorang pengguna, @thenurainijane berkata, dia pernah mengendalikan kes tuntutan insurans melibatkan pelanggaran berantai yang berakhir dengan situasi serupa.
“Tiba-tiba insurance hantar emel maklumkan tak boleh claim daripada pihak bersalah sebab pemandu tersebut cedera. Sekarang customer dah upah peguam dan bawa kes ke tribunal,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pengguna, @etuchrono menjelaskan terdapat beberapa kaedah tuntutan insurans yang boleh digunakan bergantung kepada situasi.
Menurutnya, antaranya ialah tuntutan pihak ketiga (3rd party claim), Own Damage Knock for Knock (ODKFK) dan Own Damage (OD).
Katanya, ODKFK membolehkan mangsa menggunakan insurans sendiri tanpa kehilangan NCD sekiranya polisi yang dimiliki adalah komprehensif dan mangsa bukan pihak bersalah.
Dalam pada itu, pengguna @shayaanngg turut berkongsi pengalaman hampir sama selepas diberitahu bahawa pihak yang melanggar masih boleh membuat tuntutan kecederaan dalam tempoh enam tahun.
Katanya, perkara itu membuatkan dia berasa sistem sedia ada tidak adil kepada mangsa yang tidak bersalah.
Perkongsian tersebut terus menjadi perhatian ramai dengan pelbagai reaksi, pandangan dan pengalaman dikongsikan netizen berhubung isu tuntutan insurans serta hak mangsa dalam kemalangan jalan raya.