Pemimpin Scotland, Wales dan Ireland Utara dijadual bertemu di Cardiff pada Isnin untuk menandatangani satu perjanjian yang antara lain menggesa hak mengadakan referendum kemerdekaan, lapor The Telegraph.
Sidang kemuncak itu menjadi pertemuan luar biasa apabila ketiga-tiga ketua menteri kerajaan devolusi berkenaan dijangka menandatangani deklarasi bersama yang menuntut hak menentukan masa depan politik masing-masing.
Pertemuan itu turut disertai Mary Lou McDonald, Presiden Sinn Féin dan pemimpin pembangkang Ireland, dengan perbincangan dijangka memberi tumpuan kepada kerjasama dalam ekonomi, tenaga, Eropah, hubungan antarabangsa serta hak menentukan nasib sendiri.
Ketua Menteri Scotland merangkap pemimpin SNP, John Swinney, berkata buat pertama kali Scotland, Wales dan Ireland Utara masing-masing dipimpin oleh tokoh daripada parti yang menyokong kemerdekaan.
“Buat pertama kali, Scotland, Wales dan Ireland Utara dipimpin oleh ketua menteri yang menyokong kemerdekaan. Tiada tanda yang lebih jelas bahawa status quo tidak mampan dan Westminster perlu bersedia menghadapi masa depan selepas UK,” katanya.
Perkembangan itu berlaku selepas Perdana Menteri Andy Burnham memberi isyarat bahawa referendum kemerdekaan Scotland boleh diadakan sekiranya terdapat “konsensus yang jelas” dalam kalangan rakyat.
Bagaimanapun, dalam surat kepada Swinney pada Khamis, Burnham menegaskan referendum kemerdekaan Scotland tidak akan dipertimbangkan sebelum pilihan raya umum akan datang.
Beliau berkata tiada konsensus untuk mengadakan referendum kemerdekaan di Scotland dan tiada asas jelas menunjukkan majoriti penduduk Ireland Utara ketika ini mahu berpisah daripada United Kingdom.
Burnham turut menegaskan manifesto Labour pada 2024 menyatakan parti itu tidak menyokong kemerdekaan atau referendum baharu.
Sementara itu, keputusan pilihan raya di Wales pada Mei menyaksikan Plaid Cymru muncul sebagai parti terbesar dalam Senedd Cardiff, sekali gus membolehkan pemimpinnya, Rhun ap Iowerth, mengambil alih jawatan Ketua Menteri Wales.
Di Scotland pula, SNP kekal sebagai kuasa dominan meskipun kehilangan enam kerusi Holyrood, manakala Sinn Féin yang memenangi pilihan raya Stormont pada 2022 dijangka mengekalkan kuasa apabila pilihan raya seterusnya diadakan tahun depan.
Dalam memorandum persefahaman yang bakal ditandatangani, ketiga-tiga parti dijangka bersetuju untuk memperkukuh hubungan dengan negara jiran di Eropah sebagai persediaan menghadapi kemungkinan perubahan status politik.
Mereka juga dijangka menyatakan sokongan terhadap keanggotaan Kesatuan Eropah (EU), dengan Scotland dan Wales menyertai sebagai negara baharu, manakala Ireland Utara menjadi sebahagian daripada Republik Ireland.
Sementara itu, Plaid Cymru dijangka menggunakan pertemuan berkenaan untuk mendesak kerajaan Wales diberikan lebih banyak kuasa dalam soal cukai dan perbelanjaan, termasuk hasil daripada Crown Estate serta bidang seperti kepolisan dan pembiayaan kereta api.
Sinn Féin pula menyatakan pertemuan itu akan membincangkan hak setiap negara untuk menentukan masa depan masing-masing melalui proses demokrasi berdasarkan kehendak rakyat.

