Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Hubungan yang terjalin sejak beberapa tahun lalu antara Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Steven Sim dan bekas pemandunya terus kekal utuh apabila beliau sekali lagi menghulurkan bantuan kepada anak lelaki itu yang kini melanjutkan pengajian ke universiti.
Steven, yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata, beliau masih mengingati Ellyna, anak kepada Elias yang pernah bertugas sebagai pemandunya ketika beliau memegang jawatan Timbalan Menteri Belia dan Sukan.
Menurutnya, Elias bukan sekadar menguruskan perjalanan rasmi dari Putrajaya ke Pulau Pinang, malah dianggap sebagai seorang sahabat yang sentiasa setia membantunya tanpa mengira waktu.
“Tak kira siang atau malam, Abang Elias sentiasa tunggu saya di lapangan terbang dan bawa saya ke sana sini. Walaupun saya sudah lama tidak berada di KBS, hubungan kami tidak pernah terputus,” katanya.
Steven berkata, hubungan baik itu membuatkan beliau sentiasa mengikuti perkembangan keluarga Elias termasuk pencapaian pendidikan Ellyna.
Katanya, ketika negara berdepan pandemik COVID-19 beberapa tahun lalu, beliau pernah menghadiahkan sebuah tablet kepada Ellyna yang ketika itu berada di Tahun Enam bagi memudahkan proses pembelajaran.
Menurut beliau, usaha dan kegigihan Ellyna akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya memperoleh keputusan cemerlang 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebelum melanjutkan pengajian ke Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam program Tamhidi Syariah dan Undang-Undang.
“Apabila Elias menghubungi saya untuk meminta bantuan menyediakan sebuah komputer riba bagi kegunaan Ellyna di universiti, saya mengambil peluang membuat kejutan dengan menyerahkan sendiri laptop berkenaan ketika hari pendaftaran masuk USIM.
“Peluang bertemu semula dengan Elias dan keluarganya memberi kegembiraan tersendiri selain menyaksikan sendiri kejayaan yang dicapai hasil usaha keras ibu bapa membesarkan anak dan inilah cara anak-anak membalas budi kedua-dua orang tua,” katanya.
Dalam pertemuan itu, Steven turut meminta keizinan Elias untuk menjadikan Ellyna sebagai anak angkatnya agar beliau dapat terus membantu menjaga kebajikan gadis berkenaan sepanjang tempoh pengajiannya.
“Semoga komputer riba ini memudahkan segala urusan belajar, menguatkan semangat untuk Ellyna terus melangkah jauh dan menjadi kebanggaan keluarga serta masyarakat,” ujarnya.