Malaysia sekali lagi mengharumkan nama negara di persada dunia selepas dua wakil negara berjaya meraih pingat emas dalam kejohanan HIPPO English Without Borders Peringkat Akhir di Spoleto, Itali.
Dalam satu hantaran di media sosial, Caya Academy memaklumkan Diana Aleesa Fareez Shahfiqar dan Jaden Leong Wen Hao masing-masing muncul juara dalam kategori berbeza.
Diana meraih emas dalam kategori Baby Hippo bagi peserta berusia enam hingga lapan tahun, manakala Jaden pula muncul juara kategori Hippo 4 bagi peserta berusia 15 hingga 17 tahun.
Dua Wakil Negara Bawa Pulang Emas


Selain dua pingat emas tersebut, wakil Malaysia turut menerima anugerah khas menerusi Maynushree dari SJK (T) Segambut yang memenangi anugerah ‘Italian Way Activity’.
Anugerah tersebut diberikan kepada peserta yang paling menyerlah dalam menghayati budaya, kreativiti dan semangat Itali sepanjang kejohanan berlangsung.
Kejayaan wakil Malaysia tidak terhenti di situ apabila seorang guru yang turut menghadiri kejohanan berkenaan menerima anugerah ‘Hippo Inspirer Award Winner’.
Anugerah tersebut diberikan kepada guru yang berjaya memberi inspirasi serta membimbing pelajar untuk mencapai potensi mereka, dengan Cikgu Normahyatur dari MRSM Alor Gajah dipilih sebagai penerima.
Menjengah ke ruangan komen, ramai warga maya turut meninggalkan ucapan tahniah buat para pemenang yang berjaya mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.
Untuk rekod, pusingan kelayakan kejohanan ini telah dilaksanakan di Qatar sebelum para pemenangnya dibawa ke pusingan akhir di Itali.

