Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Tak Payah Masukkan Sudu, Ini Petua Lembutkan Daging Dengan Mudah
Lauk berasaskan daging sememangnya menjadi pilihan ramai untuk dinikmati bersama dengan sepinggan nasi panas.
Daging juga sesuai dimasak pelbagai cara sama ada digoreng, kari, gulai, goreng kicap dan sebagainya.
Namun, memasak daging ini bukanlah satu perkara yang mudah. Tambahan lagi, sekiranya dimasak dengan cara yang salah, daging mungkin akan menjadi liat dan keras.
Kadang-kadang, walaupun sudah dimasak dengan cara yang betul dan lama, ia mungkin tidak menjadi seperti yang diharapkan.
Menurut perkongsian dari salah seorang pengguna Facebook, Resepi Eny Abdullah, tip yang anda boleh cuba adalah dengan memasak daging tersebut dengan api yang perlahan dan tutup periuk sewaktu merenehkan daging tersebut.
Hal ini kerana, api yang perlahan akan membolehkan daging dimasak secara sekata dengan perlahan.
"Ingat, daging tersebut perlu dimasak dalam api yang perlahan supaya urat daging ada masa untuk masak secara perlahan," ujarnya.
Hasilnya, selepas 20 minit, daging anda akan lembut. Jadi selepas ini, mungkin anda boleh mencuba tip ini sekiranya anda ingin menyediakan lauk-pauk berasaskan daging.
Di samping itu juga, wanita tersebut turut berkongsi resipi sambal tumis daging. Untuk anda yang mungkin ingin mencuba resipi tersebut, anda boleh ikuti perkongsian di bawah ini.
1kg daging beku yang telah dipotong kecil
3-4 sudu besar cili kisar
2 sudu sos tiram
Garam
Serbuk perasa
Gula melaka secukupnya
2 biji bawang besar
5 ulas bawang putih
1 inci halia
Air
Minyak masak
Mula-mula, masukkan bawang besar, bawang putih dan halia yang dipotong kepada bahagian yang lebih kecil di dalam pengisar.
Kemudian, masukkan juga sedikit air dan kisar sehingga lumat. Sementara itu, anda boleh masukkan minyak dan panaskan kuali anda.
Seterusnya, tumiskan bahan yang telah dikisar tadi bersama dengan gula melaka sehingga berubah warna keperangan dan naik bau.
Selepas itu, masukkan pula cili kisar dan sos tiram, lalu tumis sehingga pecah minyak. Kemudian, masukkan daging beku yang telah dipotong kecil. Ingat, pastikan api perlahan dan tidak terlalu besar.
Gaul sebati kesemuanya dan perasakan dengan garam dan serbuk perasa.
Selepas itu, tutup periuk dan biarkan daging tersebut masak dengan api yang perlahan.
Selepas kesemuanya lembut, tutup api dan siap untuk dhidang. Selamat mencuba!
Untuk melihat cara penyediaan yang lebih jelas, anda boleh tonton video di bawah ini.