Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

TLDM Dijangka Terima Kapal LCS Pada Januari Dan September 2026
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dilaporkan akan menerima dua buah kapal tempur pesisir (LCS) yang dijangka akan diserahkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada Januari dan September 2026.
Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, pembinaan kapal itu telah berjalan dan telah bermula pada awal September yang melibatkan mobilisasi peralatan dari pengilang peralatan asli (OEM) dan subkontraktor tempatan.
“Kabinet pada April lalu telah membuat keputusan untuk meneruskan projek LCS ini kerana ianya merupakan aset yang sangat diperlukan oleh TLDM bagi memastikan kedaulatan, integriti wilayah dan kepentingan maritim negara sentiasa terpelihara,” kata Tan Sri Affendi.
“Berdasarkan perancangan, kapal pertama dijangka diserahkan kepada TLDM pada Januari 2026, kapal kedua pada September 2026, kapal ketiga pada Mei 2027, kapal keempat pada Januari 2028 dan kapal kelima pada September 2028,” katanya lagi pada sesi wawancara bersama pemberita di Wisma Perwira ATM, di sini hari ini.
Beliau juga berkata, pihaknya turut mendaftarkan projek perolehan kapal misi pesisir (LMS) kelompok kedua dalam Rolling Plan Ketiga dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) bagi tahun 2023.
“Perolehan LMS kelompok kedua masih menunggu kelulusan pelaksanaan projek daripada kerajaan. TLDM turut mengkategorikan projek ini sebagai projek kritikal dan perlu diberi keutamaan,” sambung beliau lagi.
Beliau juga berkata sebagai sebuah negara maritim, keluasan perairan negara memerlukan pasukan TLDM untuk memiliki keupayaan cegah rintang yang canggih.
Berdasarkan konsep dua wilayah, TLDM memerlukan sekurang-kurangnya 12 buah kapal platform peluru berpandu kegunaan kombat.
Tambah Tan Sri Affendi lagi, walaupun pembinaan LCS diteruskan, ianya tidak bermakna keperluan tempur TLDM sudah mencukupi. Ianya masih belum mencukupi bagi TLDM untuk mengekang pencerobohan kawasan maritim negara kita.
“Bagi memenuhi keperluan ini, TLDM berpandangan bahawa perolehan baharu sebanyak lapan buah kapal LMS kelompok kedua perlu dilaksanakan seiring dengan perolehan lima buah LCS yang sedang dijalankan.
Affendi juga memberitahu pemberita bahawa aset terbaharu yang telah memasuki inventori TLDM adalah empat buah kapal LMS kelompok pertama, tiga buah helikopter operasi maritim (HOM), enam buah bot pemintas (FIC) dan 12 buah sistem pesawat tanpa pemandu (UAS).
Sumber: Sinar Harian
Baca: Lubuk Rahsia Nak Makan Buffet & Spa 5 Bintang Dengan Harga Bajet Di Lembah Klang