Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Washington - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, pada Ahad mengarahkan Tentera Laut AS adakan sekatan di Selat Hormuz sebagai tindak balas terhadap keengganan Iran melepaskan cita-cita nuklearnya semasa rundingan damai di Islamabad.
Walaupun mengakui rundingan panjang di Pakistan berlangsung dengan baik dan kebanyakan perkara telah dipersetujui, Trump berkata Tehran enggan berkompromi dalam isu program nuklearnya.
“Berkuat kuasa serta-merta, Tentera Laut Amerika Syarikat, yang terbaik di dunia, akan memulakan proses sekatan mana-mana dan semua kapal yang cuba memasuki atau meninggalkan Selat Hormuz.
“Mana-mana pihak Iran yang melepaskan tembakan ke arah kami, atau ke arah kapal awam yang aman, akan dimusnahkan!” katanya.
Naib Presiden AS, JD Vance, meninggalkan Pakistan tanpa sebarang perjanjian selepas rundingan hujung minggu bersama pasukan yang diketuai Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf, sebuah pertemuan peringkat tertinggi antara kedua-dua pihak sejak Revolusi Islam 1979.
Delegasi Tehran turut disertai Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi.
“Kami meninggalkan tempat ini dengan satu cadangan yang sangat mudah, satu kaedah persefahaman yang merupakan tawaran terakhir dan terbaik kami. Kita akan lihat sama ada pihak Iran menerimanya,” katanya kepada pemberita.
Dalam dua hantaran panjang di Truth Social, Trump mengkritik Iran kerana berjanji membuka Selat Hormuz, laluan strategik yang menyalurkan satu perlima daripada minyak mentah dunia, namun didakwa gagal menunaikan janji tersebut.
“Mereka berkata telah meletakkan periuk api di perairan, walaupun seluruh tentera laut mereka, dan kebanyakan bot peletak periuk api telah dimusnahkan sepenuhnya. Mereka mungkin telah lakukannya, tetapi pemilik kapal mana yang mahu mengambil risiko?” Soal Trump.
Iran dilaporkan telah menyekat Selat Hormuz sepenuhnya selama beberapa minggu sejak Amerika Syarikat dan Israel melancarkan kempen pengeboman terhadap republik Islam itu lebih enam minggu lalu.
Pada Sabtu, tentera AS mengumumkan bahawa dua kapal perang AS telah melalui selat berkenaan sebagai permulaan operasi membersihkan periuk api di laluan tersebut.