Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Trump Dedah 'Senjata Rahsia' Dalam Operasi Di Venezuela
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mendedahkan bahawa pasukan tentera AS telah menggunakan sebuah senjata rahsia yang digelarnya sebagai "Discombobulator" dalam operasi ketenteraan pada 3 Januari 2026 yang membawa kepada penangkapan Presiden Venezuela, Nicolás Maduro, dan isterinya Cilia Flores.
Dalam temu bual bersama media tempatan, Trump berkata bahawa senjata itu merupakan faktor penting yang membolehkan pasukan AS menjalankan operasi itu tanpa kehilangan nyawa tentera Amerika.
Beliau turut mendakwa senjata tersebut boleh menyebabkan peralatan musuh menjadi tidak berfungsi ketika helikopter AS memasuki Caracas, ibu negara Venezuela, lapor New York Post.
Trump menjelaskan bahawa beliau tidak dibenarkan mendedahkan secara terperinci mengenai Discombobulator tetapi mengakui bahawa ia telah digunakan dalam operasi tersebut.
Menurut beliau, sistem pertahanan Venezuela yang dilengkapi dengan roket buatan Rusia dan China gagal berfungsi apabila senjata itu digunakan.
"Discombobulator. Saya tidak dibenarkan bercakap mengenainya," katanya, sambil mendakwa bahawa senjata itu telah menyebabkan pertahanan musuh tidak berfungsi ketika pasukan AS bergerak ke kawasan operasi.
"Mereka langsung tidak sempat melancarkan roket. Mereka memiliki roket buatan Rusia dan China, namun satu pun tidak berjaya dilancarkan. Apabila kami masuk, mereka menekan butang kawalan tetapi tiada apa yang berfungsi. Mereka sebenarnya sudah bersedia menunggu kami," tambahnya.
Lapor New York Post, beberapa laporan dari Venezuela mendakwa pasukan keselamatan Maduro mengalami kesan fizikal yang luar biasa semasa operasi tersebut.
Antaranya hidung berdarah dan muntah darah, yang dipercayai berpunca daripada penggunaan senjata berkenaan.
Selain itu, sistem radar dan komunikasi mereka dilaporkan tiba-tiba gagal berfungsi ketika serangan berlaku.
Menurut saksi, selepas sistem pertahanan musuh lumpuh, pasukan AS menggunakan dron dan sekurang-kurangnya lapan helikopter untuk memasuki kawasan itu dan menangkap Maduro serta isterinya.
"Ia seperti gelombang bunyi yang sangat kuat. Tiba-tiba saya rasa kepala saya seolah-olah meletup dari dalam.
Kami semua mula berdarah dari hidung, ada yang muntah darah. Kami rebah ke tanah dan tidak mampu bergerak. Kami malah tidak dapat berdiri semula selepas terkena senjata itu atau apa jua benda yang digunakan," kata saksi, seperti dilapor New York Post.
Nicolás Maduro, 63, kini ditahan di penjara persekutuan di Brooklyn, New York.
Sementara itu, bekas naib presidennya, Delcy Rodríguez, dilantik sebagai ketua sementara kerajaan Venezuela.
Trump juga memuji hubungan dengan kepimpinan sementara Venezuela, menyifatkan perwakilan baharu itu sebagai 'hebat'.