Putera Laurent dari Belgium secara sah mengiktiraf bekas jurujual kereta berusia 26 tahun, Clément Vandenkerckhove, sebagai anak dan pewarisnya.
Clément yang merupakan zuriat hasil hubungan antara kerabat diraja itu dengan penyanyi Belgium, Wendy Van Wanten, secara senyap diterima sebagai sebahagian daripada keluarga Putera Laurent.
Menurut BBC, proses itu berlangsung menerusi satu upacara di sebuah dewan bandar raya kira-kira enam bulan lalu, namun perkara itu hanya didedahkan baru-baru ini.
Bekas jurujual kereta kini bergelar putera
Walaupun pengiktirafan berkenaan memberinya gelaran putera, namun Clément dilapor tidak akan menerima elaun diraja.
Clément sebelumnya sudah mempunyai beberapa tahun untuk menyesuaikan diri dengan hakikat bahawa bapanya merupakan seorang putera raja.
Bagaimanapun baru-baru ini, beliau mendedahkan masih belum membuat keputusan sama ada mahu menggunakan nama keturunan bapanya, Saxe-Coburg atau sebaliknya.
“Saya mungkin mahu berbuat demikian, tetapi saya bangga dengan nama Vandenkerckhove. Jika saya mengorbankan nama keluarga itu, ia seolah-olah mengkhianati segala yang telah dilakukan ibu saya untuk saya,” katanya kepada Het Nieuwsblad.
Menurut BBC lagi, Putera Laurent menjalin hubungan dengan Wendy Van Wanten, atau nama sebenarnya Iris Vandenkerckhove, sebelum beliau mendirikan rumah tangga dengan Puteri Claire pada 2003.
Walaupun diiktiraf sebagai putera, Clément tidak termasuk dalam susur galur pewarisan takhta Belgium, berbeza dengan adik-beradik tirinya, Puteri Louise serta Putera Aymeric dan Putera Nicolas.
Selain itu, beliau juga tidak akan menjalankan sebarang tugas atau aktiviti rasmi diraja.
Clément bukanlah nama asing dalam kalangan rakyat Belgium selepas kisah kehidupannya menjadi tumpuan dokumentari televisyen Flemish pada September tahun lalu.
Dalam dokumentari terbitan VTM itu, beliau menceritakan bagaimana hubungan dengan bapanya bermula selepas mereka bertemu secara tidak sengaja di sebuah pusat beli-belah pada 2013.
Bagaimanapun, ketika itu beliau masih belum mengetahui identiti sebenar lelaki berkenaan. Rahsia mengenai hubungan mereka hanya diketahuinya ketika beliau berusia 16 tahun, selepas ibunya mendedahkan bahawa Putera Laurent ialah bapa kandungnya.
Empat tahun kemudian, Clément memberanikan diri menghubungi Putera Laurent menerusi telefon.
Selepas beberapa kali berhubung, mereka akhirnya bertemu dan Putera Laurent mencadangkan supaya ujian DNA dilakukan.
“Kami pergi ke hospital bersama-sama dan saya masih ingat dia berkata, “Saya pergi dahulu supaya kamu rasa lebih selesa”,” katanya dalam dokumentari berkenaan.
Keputusan makmal kemudian mengesahkan padanan DNA sebanyak 99.5 peratus.
Perkembangan itu turut mengingatkan kepada kisah bapa Putera Laurent, bekas Raja Belgium, Albert II, yang menjalani ujian DNA selepas bertahun-tahun berdepan pertikaian mengenai status paterniti.
Albert II pada 2020 mengakui bahawa beliau mempunyai seorang anak perempuan hasil hubungan sulit dan akhirnya mengiktirafnya sebagai anak kandung.
Delphine Boël, seorang artis terkenal, sebelum itu memenangi kes mahkamah berhubung pengiktirafan tersebut dan memperoleh hak menggunakan gelaran puteri. Beliau kini menggunakan nama Delphine de Saxe-Coburg.
Albert II turun takhta pada 2013, ketika isu paterniti berkenaan menjadi skandal diraja.
Di bawah pindaan undang-undang Belgium pada 2013, hanya beberapa anggota keluarga diraja berhak menerima elaun daripada kerajaan, iaitu King Philippe, Albert II, Putera Laurent dan Puteri Astrid.

