Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Wanita Maut Terjatuh 40 Meter Ketika Bungee Jumping
Seorang wanita berusia 21 tahun maut selepas terjatuh dari ketinggian kira-kira 40 meter ketika menyertai aktiviti bungee jumping di Limeira, Brazil, apabila tali keselamatan dipercayai tidak dipasang dengan betul sebelum lompatan dilakukan.
Difahamkan, kejadian berlaku pada pagi Sabtu di Ponte do Esqueleto atau “Jambatan Rangka”, sebuah lokasi popular untuk aktiviti sukan lasak di negeri São Paulo.
Lapor TOI, mangsa yang baru menamatkan pengajian dalam bidang Pendidikan Jasmani dan Pengurusan Sukan, disahkan meninggal dunia.
Saksi mendakwa peralatan keselamatan yang sepatutnya disambungkan kepada mangsa tidak dipasang sebelum dia dilepaskan dari platform lompatan.
Akibatnya, mangsa terjatuh dari ketinggian sekitar 40 meter dan mengalami kecederaan parah di seluruh badan. Pasukan paramedik dan anggota bomba yang tiba di lokasi mengesahkan kematiannya di tempat kejadian.
Kejadian tragis itu turut dirakam dalam sebuah video yang kini menjadi bahan siasatan pihak berkuasa.
Rakaman menunjukkan mangsa dibawa ke platform lompatan oleh petugas yang mengendalikan aktiviti tersebut.
Namun, sebaik sahaja dia dilepaskan, beberapa individu di lokasi kedengaran menjerit, "Tali! Tali!" selepas menyedari peralatan keselamatan masih belum disambungkan.
Menurut polis, kegagalan memasang peralatan keselamatan dengan sempurna dipercayai menjadi punca mangsa terjatuh.
Orang ramai yang berada di lokasi cuba memberikan bantuan kecemasan sementara menunggu pasukan perubatan tiba, namun nyawa mangsa tidak dapat diselamatkan.
Dalam perkembangan berkaitan, polis melaporkan dua lelaki yang dipercayai bertanggungjawab terhadap pengendalian aktiviti tersebut melarikan diri sejurus selepas kejadian.
Bagaimanapun, mereka berjaya dikesan dengan bantuan helikopter polis selepas operasi pencarian dijalankan di kawasan berhutan berhampiran lokasi kejadian.
Secara keseluruhan, enam individu dilaporkan telah ditahan bagi membantu siasatan. Kes tersebut kini juga masih disiasat oleh Balai Polis Daerah Kedua Limeira.
Pihak berkuasa sedang meneliti bagaimana insiden itu boleh berlaku, termasuk mengenal pasti individu yang bertanggungjawab memastikan peralatan keselamatan dipasang dengan betul serta sama ada prosedur keselamatan yang ditetapkan telah dipatuhi.