Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Zarul Umbrella Kongsi Detik Genting ‘A-Z’ Ketika Pesawat MH370 Hilang

Nurhanis
zarul umbrella mh370
Gambar: Tangkap layar video

Zarul Umbrella Kongsi Detik Genting ‘A-Z’ Ketika Pesawat MH370 Hilang

Tarikh keramat 8 Mac akan sentiasa diingati oleh rakyat Malaysia kerana ia merupakan satu tragedi dan mimpi ngeri yang tidak boleh dilupakan oleh penduduk di negara ini.

Semalam, telah genap sembilan tahun tragedi kehilangan Malaysia Airlines MH370 yang membawa 227 penumpang serta 12 anak kapal. Ketika ini, kehilangan kapal terbang itu kekal menjadi misteri dan tanda tanya dalam kalangan umum.

Pada 8 Mac 2014, pesawat jenis Boeing 777-200ER itu berlepas pada jam 12.41 pagi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan dijangka akan mendarat pada hari yang sama di ibu negara China, Beijing pada jam 6.30 pagi.

Namun, kira-kira sejam kapal terbang itu berlepas, pesawat itu gagal dihubungi, sehingga ke hari ini. Tragedi yang menyayat hati itu

Siapa yang sangka, tragedi yang menimpa itu telah memberi kesan yang mendalam kepada keluarga mangsa, mereka diibaratkan bergantung tidak bertali.

Merindui tapi tidak dapat berjumpa adalah satu penyiksaan dalaman yang boleh berlaku ke atas seseorang.

BACA: Genap 9 Tahun, Mengenang Tragedi Kehilangan Pesawat MH370

“Jauh di sudut hati tak fikir pun hilang…”

Sempena memperingati tarikh kehilangan pesawat MH370, penyanyi Zarul Umbrella berkongsi pengalaman kepada umum saat dia mendapat berita mengenai tragedi itu.

Ujar Zarul yang juga seorang bekas pramugara di Malaysia Airlines berkata ketika kejadian berlaku dia mengambil cuti tahunan kerana perlu menghadiri satu majlis di suatu tempat.

“Semasa kejadian, saya bersama dengan rakan-rakan (kru kabin) untuk latihan menyanyi bersama ahli muzik. Ada yang cakap penerbangan Kuala Lumpur ke Beijing, MH370 hilang.

“(Saya rasa) biasa lagi pada masa itu, macam pelik tapi nanti adalah tu kan (kerana) jauh di sudut hati itu tidak fikir pun yang hilang itu adalah betul-betul hilang.

“Tengah hari macam itu, kita dapat tahu yang kapal (MH370) terjumpa dekat Nanning. Jadi saya legalah, dalam perjalanan ke Denaihati punya event di Kuala Lumpur, saya cakap Alhamdulillah dah dapat balik signal,” ujarnya.

Pada awalnya Zarul berasa lega kerana mendapat makluman MH370 telah mendarat namun, tidak lama selepas itu ada yang berkata perkara terbabit cuma spekulasi sahaja.

Apabila ia dilabel sebagai spekulasi, suasana hening bertukar menjadi haru biru susulan tiada pemakluman terkini daripada Malaysia Airlines tentang kehilangan.

“Lepas pukul dua atau tiga, pesawat (yang mendarat di Nanning) itu adalah spekulasi sahaja, masuk waktu malam masih tidak jumpa dan kecoh, saya rasa (pesawat) betul-betul hilang.

“Dan keluar nama kawan-kawan saya yang ada dalam MH370. Hari berikutnya masih tak jumpa, masih lagi mencari dan mencari…” kata Zarul dengan nada yang sedih, terkenang peristiwa itu.

“Saya dan rakan-rakan ketika itu dapat rasakan yang keadaan agak kucar kacir. (Keadaan agak) tertekan dan tegang dekat KLIA,” ujarnya.

Pergi kerja dalam keadaan hiba, sedih…

Walaupun pada ketika itu, pihak berkuasa tidak dapat memberi kata putus, namun pekerja di KLIA menganggap ia adalah perkara yang benar.

Bagaimanapun, mereka tetap bekerja dalam keadaan yang sedih dan tidak bersemangat sehingga pihak pengurusan terpaksa memanggil kaunselor untuk memberi semangat kepada pekerja-pekerja terbabit.

“Saya bawa flight pergi paris pada 10 Mac, saya masuk pejabat untuk lapor diri, hampir semua pramugari di dalam itu murung, sedih. Ada yang menangis.

“Kami pula yang nak kerja ni berfikir macam-macam, kapal ini pun akan hilang juga atau apa-apa. Masa briefing pun tak tahu nak briefing apa, tak tahu nak cakap apa, kerana amat sedih,” kata Zarul.

Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menegaskan bahawa misi pencarian pesawat tersebut tidak akan sesekali dihentikan.

Beliau berkata, misi pencarian terhadap tragedi yang berlaku pada tahun 2014 itu akan disambung semula sekiranya terdapat maklumat baharu berhubung pesawat itu.

Sumber: zarulumbrellaofficial via Tiktok