Siakap Keli

TERKINI: Menteri Tenaga & Sumber Asli Letak Jawatan

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Jemaah Menteri Kerajaan Persekutuan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lenggong memaklumkan perkara berkenaan menerusi satu kenyataan media hari ini, memetik laporan ringkas BERNAMA.

Shamsul Anuar berkata, keputusan itu dibuat beliau selepas mengambil kira beberapa keputusan dan pendirian parti.

BACA: Kenyataan Penuh UMNO: 5 Perkara Mengenai Penarikan Sokongan Terhadap Kerajaan, PM

“Pertama saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana berikan saya peluang untuk berkhidmat sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli dan pastinya pimpinan UMNO yang mencadangkan saya sebagai Menteri Kerajaan Persekutuan.

“Mengambil kira beberapa keputusan dan pendirian parti. Maka, sebagai ahli UMNO yang patuh dan setia kepada parti, saya dengan ini meletak jawatan sebagai Ahli Jemaah Menteri Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Tambah beliau, komitmennya selepas ini adalah memberi tumpuan kepada tugas sebagai Ahli Parlimen Lenggong selain membantu mengukuhkan parti.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak serta semua warga Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.

“Tumpuan saya selepas ini ialah memberikan fokus kepada tugas sebagai Ahli Parlimen Lenggong dan membantu memperkuat parti dalam menghadapi situasi politik yang semakin mencabar,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'