Siakap Keli

(Video)Tiga Individu Dilaporkan Maut Dalam Serangan Dron Di Lapangan Terbang Abu Dhabi

Sekurang-kurangnya tiga orang dilaporkan telah terbunuh dalam insiden serangan dron di Abu Dhabi yang mengakibatkan tiga tangki minyak meletup.

Memetik laporan Mirror, para penyiasat mengesahkan bahawa serpihan yang ditemui di tapak letupan itu adalah dron.

Dua mangsa yang maut adalah dari India manakala seorang lagi dari Pakistan. Dalam pada itu, enam orang turut dilaporkan cedera dalam kejadian yang berlaku di kawasan perindustrian Musaffah itu.

Kebakaran akibat letupan itu juga berlaku di tapak pembinaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Abu Dhabi.

Dalam satu kenyataan kepada agensi berita negeri, polis berkata siasatan awal menemui bahagian pesawat kecil yang berkemungkinan dron di kedua-dua tapak yang menyebabkan letupan dan kebakaran.

“Tiada kerosakan yang ketara akibat insiden itu dan siasatan penuh telah dilancarkan,” katanya.

Rakaman yang menunjukkan kepulan asap hitam akibat daripada letupan itu telah dimuat naik di laman media sosial.

Sumber: Mirror

Sofea

There's always another side to every story