Siakap Keli
polis mabuk hilangkan dokumen penjenayah
Kredit: AFP & Pixabay

Padah Mabuk & Tertidur Tengah Jalan, Pegawai Penyiasat Polis Tak Sengaja Hilangkan Dokumen Penting Penjenayah

Seorang pegawai penyiasat polis (IO) dari wilayah Hyogo, Jepun tidak sengaja menghilangkan dokumen penting yang mengandungi nama-nama suspek jenayah gara-gara tertidur di tengah jalan akibat mabuk, lapor The Japan Times.

Selain nama suspek jenayah, dokumen penting tersebut turut mengandungi maklumat kira-kira 400 individu lain yang dipercayai mempunyai hubungan dengan kes jenayah yang sedang disiasat pegawai tersebut.

Kejadian itu bermula ketika pegawai penyiasat tersebut bersama dua anggota bawahannya minum minuman beralkohol di sebuah bar Jepun yang dikenali sebagai ‘izakaya‘ sekitar pukul 8:30 malam pada Jumaat.

Gambar hiasan | Kredit: AFP

Di bar yang terletak di Nishinomiya tersebut, pegawai berusia 49 tahun itu dilaporkan telah meminum tujuh jenis minuman termasuk bir dan minuman keras suling yang dikenali sebagai ‘shōchū’.

Bagaimanapun semasa dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghantar anggota bawahannya di stesen kereta api pada kira-kira pukul 11 malam, pegawai penyiasat itu akhirnya tertidur di tengah jalan.

BACA JUGA: 22 Tahun Turun Naik Mahkamah, Peguam Menang Kes Harga Tiket Kereta Api Mahal RM2 Dari Harga Asal Pada 1999

Namun menurut sumber polis Hyogo, setelah terjaga pukul 5 pagi pada Sabtu keesokannya, barulah pegawai itu menyedari bahawa beg yang digunakannya untuk membawa dokumen penting tersebut hilang.

Polis berkata, dokumen itu mengandungi maklumat peribadi seperti tarikh lahir suspek, alamat rumah dan tempat kerja. Namun pihaknya telah memastikan bahawa maklumat itu tidak disalahgunakan setakat ini.

Izakaya | Kredit: iStock

Polis dilarang bawa keluar bahan siasatan

Sungguhpun begitu, pegawai-pegawai polis di Jepun adalah dilarang sama sekali untuk membawa sebarang bahan penyiasatan ke luar tempat kerja tanpa sebarang  kebenaran.

Pihak polis memetik kata-kata pegawai penyiasat tersebut yang mengatakan bahawa dia memang pergi terus ke bar berkenaan untuk minum tanpa memulangkan dokumen itu ke tempat kerjanya.

Menurut AFP seperti yang dilapor The Japan Times, kejadian kesalahan ketirisan maklumat peribadi dalam rekod rasmi yang terdedah selepas sesi minum minuman beralkohol seperti itu bukanlah kali pertama berlaku.

Terdahulu pada Julai lepas, pihak berkuasa di bandar Amagasaki mengatakan bahawa seorang kontraktor telah kehilangan sebuah beg yang didakwa mengandungi USB pendrive.

Difahamkan, alat yang memuatkan data peribadi kira-kira 460,000 penduduk itu didapati hilang selepas kontraktor tersebut pergi keluar untuk minum minuman beralkohol dan tertidur sewaktu pulang ke rumah.

Sumber: The Japan Times

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma