Siakap Keli
Saya Percaya Pada Masa Itu Ada Kepercayaan Majoriti Untuk Dilantik Menjadi PM Ke-10
Gambar: Facebook Muhyiddin Yassin

Saya Percaya Pada Masa Itu Ada Kepercayaan Majoriti Untuk Dilantik Menjadi PM Ke-10 – Muhyiddin

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu sidang media petang ini mendakwa bahawa beliau telah mempunyai kepercayaan majoriti untuk dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-10.

“Seperti mana yang sedia maklum, saya telah pun dinamakan sebagai calon Perdana Menteri bagi PN dalam pilihan raya yang baru selesai. Alhamdulillah berkat sokongan rakyat dan izin Allah SWT Perikatan Nasional telah memenangi 73 kerusi iaitu 43 kerusi dimenangi parti Pas dan 30 kerusi parti Bersatu,” katanya.

Dalam sidang media tersebut, beliau menjelaskan bahawa Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah menulis surat bagi mengundang presiden-presiden parti untuk mengemukakan pembentukan kerajaan gabungan serta calon Perdana Menteri yang mendapat kepercayaan ahli-ahli Dewan Rakyat.

“Cadangan ini mesti dikemukakan melalui surat kepada Istana Negara dengan menamakan ahli-ahli parlimen yang menyokong pembentukan kerajaan gabungan dan menamakan calon Perdana Menteri yang disokong.

“Pada hari yang sama, Yang di-Pertua Dewan Rakyat menulis satu lagi surat kepada presiden-presiden parti meminta supaya cadangan pembentukan kerajaan gabungan  tersebut mestilah disertai dengan surat akaun bersumpah yang memberikan kepercayaan kepada seorang ahli dewan rakyat untuk dilantik sebagai Perdana Menteri yang ke-10,” jelasnya.

Maklum pengerusi PN itu, tarikh akhir bagi menghantar dokumen itu kepada Istana Negara menerusi e-mel dan aplikasi Whatsapp adalah pada 21 November 2022.

Susulan itu, PN telah menghantar surat daripada Setiausaha Agong Pas, Pengerusi GPS, Pengerusi GRS dan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Malaysia (KDM) yang menyatakan persetujuan untuk membentuk kerajaan gabungan bersama PN.

“Turut dihantar ke Istana Negara ialah 114 surat akaun ahli parlimen yang menyatakan kepercayaan tanpa syarat kepada saya untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

“73 ahli dewan rakyat PN termasuk pecahan ahli parlimen seperti berikut, 73 ahli dewan PN termasuk 22 bertanding guna logo Pas di Kelantan dan Terengganu, 22 ahli dewan rakyat GPS, 6 ahli dewan rakyat GRS, 1 ahli dewan rakyat KDM, 10 ahli dewan rakyat Barisan Nasional (BN) dan dua ahli dewan rakyat bebas,” ujarnya dalam sidang media itu.

Tambahnya lagi, kesemua dokumen itu telah dihantar ke Istana Negara pada jam 1.28 petang pada 21 November iaitu sebelum masa akhir parti-parti perlu menghantar dokumen berkaitan kepada Istana Negara seperti yang dikehendaki oleh YDP Dewan Rakyat.

Oleh itu, Setiausaha Sulit Kanan kepada YDP Agong telah mengeluarkan surat kepada Setiausaha Agong PN pada hari sama bagi mengesahkan penerimaan surat-surat itu.

“Saya percaya pada masa itu telah mempunyai kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat untuk dilantik menjadi Perdana Menteri ke-10.

“Namun lebih kurang pada 1.30 petang pada hari yang sama pihak Istana Negara mengumumkan tempoh perlanjutan tempoh untuk presiden-presiden parti mengemukakan surat akuan bersumpah untuk proses perlantikan Perdana Menteri sehingga jam 2 petang pada 22 November 2022.

“Pada jam 10.30 pagi, 22 November 2022 pagi Setiausaha Agong PN menghantar lagi surat akuan bersumpah ahli-ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepada saya untuk dilantik menjadi Perdana Menteri menjadikan jumlah ahli parlimen yang menyokong saya adalah seramai 115 ,” katanya.

Jelasnya lagi, jumlah itu adalah melebihi 112 orang untuk membolehkannya menjadi Perdana Menteri.

Bagaimanapun, pada hari ini Istana Negara telah mengeluarkan kenyataan bahawa pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai sokongan majoriti ahli-ahli dewan rakyat untuk dilantik menjadi Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim selesai mengangkat sumpah dan sah menjadi Perdana Menteri Malaysia Ke-10 sebentar tadi.

Majlis Istiadat dan Angkat Sumpah Perdana Menteri itu diadakan di Istana Negara di hadapan DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ Ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Sumber: Facebook Muhyiddin Yassin

BACA: Elak Kena ‘Sidai’ & Boros, Ini 9 Tips Suami Boleh Guna Bila Nak Teman Isteri “Shopping” Hujung Tahun

BACA JUGA: Jangan Tak Tahu, Ini 6 Hak Yang Wanita Boleh Tuntut Kalau Menetap Di Malaysia

Muhd Iqbal