Siakap Keli
dua bot pangkor
Kredit: BERNAMA

Dua Bot Bertembung Di Pangkor, Tiga Maut

Dua Bot Bertembung Di Pangkor, Tiga Maut

IPOH, 7 Mac (Bernama) — Tiga wanita maut dalam insiden pelanggaran antara dua bot di perairan Lumut-Pangkor dekat Manjung berhampiran Pengkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) malam tadi.

Ketiga-tiga wanita berumur lingkungan 26 hingga 43 tahun yang belum dikenal pasti identiti disahkan meninggal dunia di Hospital Angkatan Tentera Laut, Lumut, dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu.

Ketua Polis Daerah Manjung ACP Nor Omar Sappi berkata pihaknya dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Manjung dan TLDM telah melancarkan misi mencari dan menyelamat (SAR) sebaik menerima maklumat pada pukul 9.17 malam.

“Siasatan awal mendapati kemalangan itu melibatkan sebuah bot membawa 17 penumpang dengan seorang tekong dari Lumut ke Pangkor, yang berlanggar dengan sebuah lagi bot dinaiki seorang tekong dan seorang penumpang dari arah bertentangan.

“Akibat pertembungan itu 10 penumpang tercampak ke dalam laut sebelum diselamatkan oleh kedua-dua tekong bot berkenaan dan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Nor Omar berkata tiga yang maut telah dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk dibedah siasat, manakala manakala seorang mangsa berumur 43 tahun kini ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), dan yang lainnya telah menerima rawatan sebagai pesakit luar.

“Setakat ini kita klasifikasikan kes sebagai mati mengejut dan kita minta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai insiden ini untuk tampil bagi membantu siasatan,” katanya.

Mayat wanita ditemukan dalam kereta, dipercayai dihanyut arus deras banjir di Mersing

Media melaporkan mayat seorang wanita ditemukan dalam sebuah kereta Perodua Myvi malam ini, dipercayai hanyut dibawa arus deras di Jalan Nitar Utama.

Pemangku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Johor Penolong Pesuruhjaya Bomba Mohd Rizal Buang berkata mayat wanita berkenaan ditemukan dalam kereta itu pada pukul 10.19 malam ini, selepas keretanya ditemukan pada 6.55 petang.

Beliau berkata kereta berwarna kelabu milik mangsa berjaya dibawa keluar dengan menggunakan peralatan “vehicle rockery system”, yang mengambil masa kira-kira 40 minit berikutan berdepan kesukaran akibat pokok-pokok yang menghalang.

“Kita berjaya menemukan mangsa setelah kereta berkenaan dibawa naik sebelum menyerahkannya kepada pihak polis pada 10.22 malam untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sumber: BERNAMA

BACA: Nelayan Cemas, Bot Terperangkap Dikelilingi ‘Sedozen’ Kawanan Ikan Jerung

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana