Siakap Keli
produk kosmetik kandungi racun berjadual
Gambar: KKM

KKM Batal Notifikasi Dua Produk Kosmetik, Dikesan Kandungi Racun Berjadual

KKM Batal Notifikasi Dua Produk Kosmetik, Dikesan Kandungi Racun Berjadual

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membatalkan dua notifikasi produk kosmetik kerana kedua-duanya dikesan mengandungi racun berjadual.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dalam kenyataan berkata, kedua-dua produk kosmetik terlibat ialah Airee Beautycare Night Cream dan BL Ledehh Day Cream 1.

Menurutnya, Airee Beautycare Night Cream dikesan mengandungi merkuri, manakala BL Ledehh Day Cream 1 pula mengandugi hydroquinone dan tretinoin.

Susulan itu, difahamkan kedua-dua produk kosmetik berkenaan tidak lagi dibenarkan dijual di pasaran dan orang digesa untuk tidak membeli dan menggunakannya.

“Merkuri boleh merosakkan kesihatan kerana ia boleh diserap masuk ke dalam badan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.

“Ia juga boleh menganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan serta menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit,” kata kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin.

Produk yang mengandungi hidrokuinon pula boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini malah kulit menjadi hipersensitif.

Dalam pada itu, ia boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar ultraungu berbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit.

Manakala, produk tretinoin pula menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.

Dr Muhammad Radzi berkata bahawa penjual dan pengedar produk kosmetik itu diberi amaran supaya menghentikan penjualan dan pengedaran produk kosmetik tersebut dengan serta-merta.

BACA: KKM Nafi Keluar Notis Pemeriksaan Alat Kelamin Pelajar IPTA

Ini kerana penjual dan pengedar produk komestik itu telah melanggar Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“Individu melakukan kesalahan di bawah peraturan-peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama

“Dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” jelasnya.

Orang awam yang sedang menggunakan produk komestik itu turut dinasihatkan segera menghentikan penggunaannya.

Sekiranya mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers, mereka perlu mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan.

Beliau turut menggalakkan orang awam menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store.

Sumber: KKM/Facebook

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana