Siakap Keli
virus fiv kucing

Kenali Virus FIV Kucing, Simptom dan Rawatannya

Ketahui Apa Itu FIV, Virus Yang Sering Dijangkiti Kucing Dan Boleh Sebabkan Kematian

Semalam, seekor kucing, Oyen yang merupakan mangsa nahas sebuah pesawat Beechcraft Model 390 di Persiaran Elmina  di Shah Alam dilaporkan sudah tiada.

Perkara itu dimaklumkan oleh doktor yang merawatnya, Dr Zul Erwan Azmi yang menyatakan Oyen didapati positif untuk virus FIV (AIDS kucing), yang membuatkan sistem imun badannya terganggu.

Perkongsian SK pada kali ini ialah untuk menerangkan tentang FIV dan bagaimana ia boleh menjangkiti kucing. Mari ketahuinya di bawah ini.

Apa itu FIV?

Kredit: BERNAMA

Virus imunodefisiensi kucing atau FIV kucing ialah jangkitan retrovirus yang pertama kali ditemui pada kucing di United States (US) dan ia sering dirujuk sebagai HIV kucing atau AIDS kucing susulan mempunyai virus yang sama.

Kalau nak tahu, kucing yang disahkan positif FIV kemungkinan mempunyai virus dalam sistem mereka selama bertahun-tahun sebelum menunjukkan tanda-tanda penyakit.

Sekiranya kucing itu dijangkiti FIV, ia mampu membunuh atau merosakkan sel dalam sistem imun kucing, yang selalunya menyasarkan sel darah putih.

Kerosakan FIV yang berterusan dalam kucing akhirnya membawa kepada kelemahan sistem imun dan apabila ia berlaku, kucing tersebut boleh terdedah kepada jangkitan sekunder.

Apakah gejala FIV kucing?

Oleh kerana virus FIV kucing bergerak perlahan dalam sistem kucing, haiwan itu mungkin tidak menyedari tentang kewujudannya dan selama bertahun-tahun tidak akan menunjukkan sebarang gejala yang ketara.

Bagaimanapun, sebaik sahaja kucing mula menunjukkan tanda-tanda penyakit, ia boleh menyebabkan serangan berpanjangan namun tubuh badan dan kesihatan masih berada dalam keadaan baik untuk jangka masa yang panjang.

Demi menjaga kesihatan kucing, ia amat disarankan untuk melakukan pemeriksaan doktor haiwan jika ia mula menunjukkan gejala FIV.

Simptom yang ditunjukkan ialah kucing berada dalam keadaan yang teruk, kerap demam, kurang selera makan, keradangan di dalam mulut dan gusi, jangkitan kronik yang berulang pada mata, kulit, saluran pernafasan atau punding kencing.

Ia juga termasuk cirit-birit yang berterusan, masalah mata yang berterusan, sawan, perubahan tingkah laku dan kucing menunjukkan tanda-tanda gangguan saraf.

Gejala FIV dalam kucing juga termasuk penurunan berat badan yang perlahan dan stabil. Banyak kucing yang dijangkiti penyakit itu akhirnya menghidap sejenis kanser atau penyakit darah.

Bagaimanakah FIV kucing dijangkiti?

Kebanyakan kes FIV kucing berlaku melalui kucing yang dijangkiti, di mana ia menyebarkannya kepada yang lain melalui gigitan yang dalam.

Kucing luar berpotensi untuk terkena jangkitan FIV susulan ia dengan persekitaran luar yang mampu memberi virus itu.

Dalam pada itu, ibu kucing yang dijangkiti virus FIV kucing juga boleh menularkannya kepada anak kucing.

Walaupun FIV menular, kucing biasanya tidak menghantar virus itu dengan hanya berkongsi mangkuk makanan dengan kucing lain, atau melalui tindakan lain seperti berkongsi kotak pembuangan najis, bersin dan tingkah lakunya.

Pun begitu, kucing tidak boleh menghantar virus FIV kepada manusia. Mereka hanya boleh menularkan virus itu kepada haiwan yang sejenis dengannya.

Bagi memastikan kucing anda terpelihara daripada virus tersebut, ini perkara yang boleh dilakukan supaya dapat mengelakkan kucing anda dijangkiti FIV.

Yang pertama ialah memelihara mereka di dalam rumah untuk mengelakkan kemungkinan terkena kucing yang dijangkiti. Kemudian letakkan tali pada kucing apabila membawanya keluar bersiar-siar.

Selain itu, ambil tahu tentang kucing liar yang bergaul dengan kucing peliharaan anda dan pastikan kucing kesayangan anda telah melakukan pemeriksaan FIV.

Untuk lebih selamat, pastikan anda memberi vaksinasi FIV kepada kucing walaupun ia biasanya tidak dinasihatkan oleh pakar namun perkara tersebut boleh dibincang.

Jangkitan FIV adalah yang paling biasa dalam kalangan kucing pertengahan umur antara lima hingga 10 tahun dan kucing jantan mempunyai dua kali kemungkinan untuk dijangkiti virus itu berbanding jantina betina.

BACA: Kenapa Kucing Boleh Bertindak Balas Dengan Pantas? Ini Jawapannya

Bagaimana anda mendiagnosis FIV kucing?

Perkara yang pertama adalah untuk merekod simptom FIV kucing secara berterusan untuk rujukan doktor haiwan. Kemudian, tidak terlampau kerap membiarkan kucing keluar rumah bermain dengan kucing yang lain sehingga anda pastikan kucing liar itu selamat daripada virus tersebut.

Doktor haiwan biasanya mendiagnosis FIV dalam kucing dengan menjalankan ujian darah untuk mencari antibodi khusus yang terdapat dalam darah kucing yang dijangkiti.

Kucing hamil merupakan antara yang wajib untuk dihantar melakukan pemeriksaan doktor kerana ia mempunyai potensi besar menularkannya kepada anak kucing mereka.

Apakah rawatan untuk FIV kucing?

Kredit: The Spruce/Adrienne Legault

Malangnya tiada ubat antivirus yang tersedia untuk rawatan FIV kepada kucing. Kebanyakan doktor haiwan menumpukan perhatian mereka pada usaha mengekalkan kucing tanpa gejala untuk tempoh yang lama.

Satu kajian mendapati bahawa kucing positif FIV hidup selama tempih lima tahun selepas didiagnosis, namun ia juga bergantung kepada antibodi mereka.

Jika gejala FIV mula muncul, mereka akan merawat sebarang penyakit sekunder yang berpunca daripada virus dan rawatan yang sering disyorkan untuk membantu kucing dengan FIV termasuk memberikan ubat yang membantu mengurangkan jangkitan sekunder.

Rawatan yang lain seperti terapi penggantian cecair dan elektrolit, kawalan parasit, ubat untuk meningkatkan sistem imun, ubat yang membantu dengan keradangan dan syorkan diet pemakanan yang mudah pada kucing.

Selain daripda doktor, kita sebagai tuan kepada haiwan tersebut juga boleh menjaga kucing positif FIV dengan cara memelihara mereka di dalam rumah bagi melindungi sistem imun dan mengelakkan daripada menjangkiti kucing lain.

Kemudian, lakukan rawatan dengan neuter kucing jantan dan memandulkan kucing betina untuk mengelakkan FIV daripada diturunkan kepada anak mereka yang akan datang.

Selepas itu, memerhatikan sebarang perubahan dalam tingkah laku atau kesihatan kucing. Seterusnya bawa kucing sekurang-kurangnya dua kali setahun untuk pemeriksaan doktor haiwan yang merangkumi analisis air kencing dan kiraan darah.

Elakkan memberi makanan mentah dan telur kepada mereka sekiranya kucing itu sedang melakukan diet.

Difahamkan juga, sekiranya melakukan terapi antiviral seperti interferon atau memberi ubat antivirus seperti azidothymidine (AZT), ia boleh membantu memanjangkan tempoh kehidupan apabila kucing anda tidak mengalami gejala.

Rawatan awal FIV boleh memanjangkan jangka hayat kucing yang dijangkiti virus itu dan membolehkan mereka mempunyai kualiti hidup yang agak baik.

Sumber: WebMD

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana