Siti Nurhaliza Tak Kisah Dipanggil Tokti, “Tapi Dalam Majlis…”
Penyanyi nombor satu negara, Dato’ Seri Siti Nurhaliza Tarudin dilaporkan telah memberi respon susulan panggilan ‘Tokti’ yang diberikan terhadapnya, lapor Astro Awani.
Dalam respon tersebut, Siti Nurhaliza berkata bahawa dia tidak kisah untuk dipanggil dengan panggilan Tokti oleh peminat. Namun begitu, dalam majlis tertentu, panggilan Siti Nurhaliza adalah lebih baik.
“Saya tak kisah kalau dipanggil Tokti semasa bersama peminat tapi dalam majlis tertentu, lebih baik dipanggil dengan nama Siti Nurhaliza,” katanya.
Menurut pelantun lagu popular Cindai itu lagi, perkara tersebut tidak menjadi masalah buat dirinya. Terutamanya, sehingga ada pihak yang tidak dibenarkan untuk memanggilnya dengan panggilan mesra yang sudah sinonim dengan dirinya itu.
“Kalau nak kata jangan panggil saya Tokti panggil saya Siti Nurhaliza, saya tak nak sampai macam itu sekali. Tapi kalau boleh dalam keadaan tertentu yang melibatkan sesuatu yang formal perlu menyebut nama saya Siti Nurhaliza,” ujarnya.
Tidak mahu menetapkan nama panggilan sendiri
Dalam masa yang sama, beliau yang juga pengasas produk SimplySiti berkata bahawa dia tidak terfikir untuk menetapkan nama panggilan seperti rakan artisnya dari seberang, Krisdayanti.
“Setiap orang ada keinginan ada protokol dia, saya faham macam teman saya (Krisdayanti) dia dah menjadi wakil rakyat di sana. Lebih baik dia dipanggil seperti nama dia yang tertera dalam kad pengenalan dia. Tapi saya tetap berkata begitu jika ada acara formal baru panggil saya dengan nama Siti Nurhaliza,” tambahnya.
BACA: Proton Pakistan Promo Saga, Rakyat Malaysia Tolong “Support” Dekat Komen
Beliau berkata demikian ketika ditemui di sesi Meet and Greet di Jelajah Jiwa SME yang berlangsung di The Curve, Damansara selama tiga hari. Program jelajah itu difahamkan bermula pada Jumaat hingga Ahad ini.
Terdahulu, isu panggilan nama penyanyi kesayangan ramai itu timbul selepas peminat mahu nama Siti Nurhaliza dipanggil dengan nama sebenarnya dan bukan Tokti. Perkara itu juga sempat tular di laman X dan beberapa lagi media sosial yang lainnya.
Sumber: Astro Awani