Siakap Keli
alif geng subuh
Gambar: Alif Satar/Facebook

“Cari Lima Kawan…” Alif Satar Kongsi Cara Ajak Orang Solat Subuh Guna Sistem ‘Multi Level Pahala’ 

“Cari Lima Kawan…” Alif Satar Kongsi Cara Ajak Orang Solat Subuh Guna Sistem ‘Multi Level Pahala’ 

Kempen #GengSubuhMacamJumaat yang sedang aktif berjalan kian mendapat sambutan yang menggalakkan dalam kalangan masyarakat Islam terutamanya lelaki di negara ini.

Penyanyi dan pengacara, Alif Satar yang mencipta fenomena itu juga giat berkongsi cara dalam memastikan kempen itu berkembang hingga dijadikan sebagai rutin harian tanpa sebarang paksaan.

Dalam perkongsian terbaru di media sosial, Alif menunjukkan cara yang lebih berkesan mengajak orang ramai menjadikan kempen itu sebagai gelombang besar pada masa hadapan.

Menurut Alif, mereka yang mengikuti cara tersebut sekali gus diberikan ganjaran yang besar dari Allah S.W.T.

Bagaimanapun, Alif berkata cara yang dikongsi bukanlah satu paksaan untuk diikut malah ia adalah cadangan yang boleh digunakan.

“Tiada paksaan, abang dengar dahulu. Abang cari lima orang kawan, selepas itu kawan-kawan abang ini abang latih mereka supaya kawan-kawan abang pun cari lima orang kawan-kawannya.

“Selepas itu, mereka latih lagi lima orang ajak lagi lima orang, selepas itu ganjarannya abang akan dapat lagi banyak.

“Tetapi abang jangan risau, yang bawah-bawah abang juga pun akan dapat ganjaran juga.

“Dipanggil Multi Level Pahala (MLP), ajak ramai-ramai jom ikut gerakan Geng Subuh Macam Jumaat,” katanya.

BACA: Alif Satar Teruja #Gengsubuhmacamjumaat Dapat Sambutan Positif

Sementara itu, Alif yang berada di Korea pada ketika ini berkata ramai yang mula menyapanya dengan gelaran geng Subuh apabila terserempak.

Alif turut meluahkan rasa syukur kerana kempen itu memberi impak positif dalam kalangan umat Islam.

#GengSubuhMacamJumaat di Telegram

Mengulas lanjut, Alif memaklumkan kempen itu juga mempunyai siaran yang tersendiri di aplikasi Telegram dan mereka yang mahu mengetahui kemas kini terkini boleh mengikutinya.

“Alif sekarang dekat Seoul di Korea, ada orang Singapura, Brunei, ada juga Malaysia mereka panggil Alif, ‘assalamualaikum geng Subuh’, mereka panggil macam itu Masya-Allah alhamdulillah.

“Lusa inshaa-Allah Alif dah sampai Kuala Lumpur, saya nak beritahu yang sekarang ini Geng Subuh Macam Jumaat ada Telegram, jadi akan ada kemas kini macam-macam maklumat.

“Di mana sahaja kamu semua berada, kebetulan kita dapat jemaah sama-sama kita jumpa,” jelasnya.

Sumber: Alif Satar/Facebook

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana