Ingat Foto Edit, Ketahui Kisah Sebalik Foto Popular “Bliss” Windows XP Bernilai 1 Juta Dolar Ini
Foto pemandangan yang memaparkan bukit hijau dengan langit biru cerah, yang terkenal dalam kalangan pengguna Windows XP pada komputer atau laptop, memang tidak asing lagi bagi kita semua.
Keindahan foto tersebut memukau berjuta-juta pengguna di seluruh dunia dan menjadi wallpaper bagi Windows XP dari tahun 2001 hingga 2007.

Tidak dapat dinafikan, ramai yang mengira bahawa foto tersebut ‘palsu’ dan merupakan foto yang diedit kerana kelihatan seperti dihasilkan oleh komputer.
Namun, foto yang dikenali sebagai “Bliss” itu sebenarnya bukanlah hasil ‘manipulasi’ digital, tetapi pemandangan nyata yang menakjubkan.
Difahamkan, Microsoft membelinya dengan nilai 1 juta dolar daripada seorang lelaki yang merupakan jurugambar bernama Charles O’Rear.
BACA: Macam Mana Nak Tahu Komen Kita Ada ‘Hate Speech’, Jaga-jaga 3 Unsur Ini Sebelum Korang ‘Dipantau’

Apakah kisah di sebalik gambar bernilai 1 juta dolar itu?
Menurut Mail Online, foto itu diambil oleh O’Rear di sebuah ladang anggur Napa Valley, di kawasan San Francisco, California, Amerika Syarikat, pada Januari 1996.
Difahamkan, ketika itu, beliau sedang dalam perjalanan untuk bertemu dengan teman wanitanya.
Ketika beliau memandu melalui jalan luar bandar yang berliku, beliau secara kebetulan menemui pemandangan yang menurutnya sempurna.
Beliau kemudiannya mengambil kesempatan itu untuk memberhentikan kenderaan, menyiapkan kameranya dan menangkap empat foto yang kini menjadi sejarah.
Kesemua foto itu dipercayai dibeli oleh Microsoft dengan harga lumayan yang tidak didedahkan jumlahnya. Ia sangat mahal sehingga tiada perkhidmatan kurier biasa seperti FedEx yang sanggup menghantarnya.
Akhirnya, Mr. O’Rear terpaksa diterbangkan ke ibu pejabat syarikat di Redmond, Washington untuk menyerahkannya secara peribadi, lapor Mail Online.
O’Rear mendedahkan bahawa gambar tersebut diambil dengan kamera Mamiya RZ67 menggunakan filem warna Fuji dan tripod.
Walaupun terdapat dakwaan bahawa foto tersebut telah diubah suai, O’Rear berkata bahawa itu tidak benar tetapi beliau menggunakan filem Fuji yang boleh membantu ‘menambah baik’ warna foto.
Tambah beliau, foto tersebut tidak pernah diedit dan dijual kepada Microsoft dalam keadaan asalnya, lapor Mail Online lagi.
“Bliss”, foto yang paling dikenali dan diingati sepanjang zaman
Keaslian foto ini menambah nilai dan daya tarikan, menjadikannya salah satu gambar yang paling dikenali dan diingati sepanjang zaman.
Foto “Bliss” ini menjadi simbol kenangan manis bagi generasi pengguna komputer pada awal tahun 2000-an dan terus dikenang hingga ke hari ini.
Walaupun kawasan bukit hijau tersebut kini dipercayai telah berubah dan tidak seperti mana yang dilihat dalam foto itu, keindahan abadi yang ditangkap dalam foto “Bliss” tetap terpahat dalam ingatan ramai.
Hari ini, hanya kira-kira 0.1 peratus daripada semua komputer di seluruh dunia masih menggunakan sistem operasi Windows XP, namun memori indah wallpaper “Bliss” tetap hidup dalam hati kita.
Generasi demi generasi akan terus mengenang dan menghargai keindahan foto ikonik ini, mengingatkan kita bahawa di sebalik kemajuan teknologi, keindahan alam semula jadi tetap menjadi sumber inspirasi yang tidak ternilai.
BACA: Kenapa Filem Pecah Panggung Dipanggil “Blockbuster”? Ini Jawapannya
BACA: Nak Bersara Awal, Lelaki Berjimat 21 Tahun Berjaya Kumpul RM4 Juta
BACA: Mak Lang ‘Terperangkap’ Dalam Lift, Anak Buah Menangis Sambil Berlari Minta Tolong
Sumber: Mail Online, Did you know that?