Enam Daerah Di Kedah Banjir Susulan Hujan Berterusan Selama Dua Hari
Akibat hujan lebat yang berterusan selama dua hari bermula Isnin lalu, enam daerah di Kedah telah dilanda banjir.
Daerah yang terjejas teruk termasuklah Kota Setar, Pokok Sena, Kubang Pasu, Pendang, Kuala Muda dan Kulim, lapor Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah, Datuk Zulkhairi Zainol Abidin.

Menurut beliau, sebanyak 20 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat ini untuk menampung 2,267 mangsa banjir.
“Lima lagi PPS dibuka di Kedah menjadikan 20 buah PPS, sebanyak 603 keluarga ditempatkan di PPS membabitkan enam daerah yang terjejas akibat banjir,” katanya pada Rabu.
Namun, setakat jam 4 petang Rabu, jumlah mangsa banjir telah berkurang daripada 2,618 orang pada tengah hari.
Walau bagaimanapun, PPS terus dibuka sebagai langkah berjaga-jaga untuk menghadapi kemungkinan peningkatan bilangan mangsa banjir.
“Ia sebagai persediaan awal hadapi bencana, kemungkinan bilangan mangsa banjir di negeri ini akan bertambah menyebabkan JKM membuka PPS baharu bagi menempatkan mangsa banjir yang terkesan,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, operasi pemindahan mangsa banjir sedang dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
BACA: Dua Pelancong China Maut, Kereta Ditimpa Pokok Tumbang & Konkrit Di Pulau Pinang
Selain banjir, beberapa daerah turut mengalami ribut dan angin kencang yang menyebabkan pokok-pokok tumbang.

Ini berlaku di kawasan-kawasan seperti Sik, Yan, Gurun, Kuala Muda, serta beberapa kawasan sekitar Kuala Kedah, Kuala Nerang dan Simpang Kuala (Kota Setar).
Difahamkan, Pusat Kawalan Operasi APM di daerah Sik menerima laporan kecemasan mengenai 32 kes pokok tumbang akibat ribut.
Pegawai Pertahanan Awam (APM) Sik, Lt (PA) Haisul Aishah Mohd Napiah, menjelaskan bahawa tiada kemalangan jiwa dilaporkan akibat ribut melibatkan keseluruhan daerah itu.
“Dua pasukan APM Sik digerakkan bagi memotong dan mengalihkan pokok tumbang serta membersihkan kawasan terjejas.
“Orang ramai dinasihatkan sentiasa berhati-hati dan waspada berikutan ramalan cuaca buruk oleh Jabatan Meteorologi Malaysia sehingga esok (Khamis),” katanya.
BACA: Lelaki Maut Kemalangan Babit 10 Kenderaan
BACA: Tak Pulang Selepas Rawatan Dialisis, Warga Emas Ditemui Meninggal Dunia Dalam Kereta
Sumber: Sinar Harian