3 Aneka Minum Petang Mudah & Lazat, Hanya Guna Pisang
Minum petang bersama keluarga atau jiran tetangga sememangnya sudah umpama satu ‘tradisi’ di Malaysia.
Ia bukan sahaja waktu untuk bersantai, tetapi juga peluang untuk menikmati pelbagai hidangan ringan sambil berborak dan bertukar cerita.
Kebiasaannya, waktu inilah ‘mak-mak’ dan suri rumah ambil peluang untuk berehat sambil berbual mesra dengan jiran.
Menu yang boleh dikatakan ‘biasa’ ada untuk minum petang sudah semestinya goreng pisang.
Tapi, kalau asyik menu yang sama, memang mudah rasa jemu.
Jadi, apa kata kita cuba kelainan kali ini? Berikut SK kongsikan 3 resipi minum petang berasaskan pisang yang dikongsikan oleh Azie Kitchen dan MyResipi.
1. Pengat Pisang Nangka
Bahan bahan yang diperlukan ialah:
- 15 biji pisang nangka – hiris serong
- 1kg santan
- 3 keping gula Melaka
- 2-3 senduk gula pasir
- Garam
- 3 helai daun pandan – koyak dan simpul
- 1/2 cawan sagu
Cara penyediaan:
Masak santan cair dengan pisang dan daun pandan sehingga pisang nampak dah lembut. Selalu dikacau bagi mengelakkan santan pecah minyak.
Masak gula Melaka dan gula pasir untuk dijadikan air gula. Bila pisang dah lembut, masukkan air gula tadi. Masukkan sedikit dan rasakan kemanisannya dulu. Boleh ditambah kemudian jika terasa masih kurang manis. Kacau rata.
Lepas itu masukkan pula santan pekat dan garam. Kacau seketika. Sesuaikan rasa dan bolehlah tutup api.
Basuh sagu dan tos. Panaskan air di dalam periuk sehingga mendidih. Masukkan sagu dan kacau sehingga tiada kelihatan bahagian putih. Angkat dan tos. Lalukan di bawah air paip sambil dikacau untuk membuang sedikit sagunya.
Akhir sekali masukkan sagu tadi ke dalam periuk pengat yang telah ditutup api. Kacau rata. Sedia untuk dihidangkan.
2. Lepat Pisang
Bahan bahan yang diperlukan ialah:
- 13 biji pisang berangan / pisang emas
- 1 cawan tepung gandum
- 1/2 cawan besar gula pasir
- 2 sudu besar gula merah – menaikkan warna
- 1 sudu kecil garam
Cara penyediaan:
Potong pisang nipis nipis dan lenyek dengan menggunakan garpu sehingga hancur. Jangan terlalu hancur supaya dalam lepat, masih ada rasa ketulan pisang. Masukkan gula, gula merah dan garam. Kacau rata.
Masukkan tepung gandum dan kelapa parut dan gaul hingga sebati.
Potong daun pisang panjang 15cm x 15 cm dan layur atas dapur gas supaya ianya tidak terkoyak semasa dilipat.
Sudukan 2 sudu besar adunan ke atas daun pisang. Letak pula kelapa parut yang digaul dengan sedikit garam. Lipat ke kiri dan kanan. Kemudian lipat pula hujungnya ke bawah, angkat tegak dan lipat pula di hujung satu lagi.
Panaskan periuk pengukus sehingga air mendidih. Susun kuih lepat dalam pengukus dan kukus selama 20 minit atau sehingga masak.
Cucuk bahagian tengah kuih dengan pisau, jika tidak melekat, tandanya ia telah masak. Bolehlah angkat dan sedia untuk dihidangkan.
3. Lempeng Pisang
Bahan-bahan diperlukan ialah:
- 7 biji pisang emas
- 5 sudu besar gula
- 1 1/2 cawan tepung gandum
- 1/2 cawan kelapa muda (parut)
- 1/2 sudu teh garam
Cara penyediaan:
Lecek pisang hingga halus kemudian masukkan gula, garam dan kelapa parut.
Masukkan tepung sedikit2 dan gaul rata.
Panaskan kuali dan sapukan sedikit minyak, sendukkan adunan tadi dan leperkan di dalam kuali.
Balik2kan hingga kedua2 bhgian masak.
Angkat dan bolehlah dihidang sebagai sarapan atau minum petang.
Selamat mencuba.
BACA: Wanita Kongsi Cara Buat Nasi Lemak Turun-Temurun Keluarga
BACA: Chef Sabri Kongsi Rahsia Sos Lada Hitam Pekat Tanpa Guna “Cream”
BACA: Wanita Kongsi Resipi Arwah Nenek, Rendang Ayam Klasik Pikat Selera
Sumber: Azie Kitchen, MyResipi