Berapa Jumlah Simpanan KWSP Yang Sepatutnya Dimiliki Pada Usia 35 Tahun?
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah sebuah institusi keselamatan sosial yang amat penting bagi setiap pekerja di Malaysia.
Ditubuhkan di bawah Akta KWSP 1991, KWSP bertujuan untuk menyediakan jaminan kewangan kepada pekerja selepas bersara, di mana simpanan dikumpulkan melalui caruman bulanan oleh pekerja dan majikan.
Dalam dunia yang semakin mencabar dari segi ekonomi, memastikan simpanan yang mencukupi di usia tertentu bukan sahaja penting, malah menjadi satu keperluan.
Baru-baru ini, The Futurizts, melalui hantaran di laman sosial X, berkongsi jumlah simpanan KWSP yang ideal untuk dimiliki oleh individu berusia 35 tahun.
Menurut perkongsian tersebut, rakyat Malaysia disarankan mempunyai sekurang-kurangnya RM57,000 dalam Akaun Persaraan KWSP dan sekitar RM76,000 secara keseluruhan (termasuk Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel).
https://x.com/TheFuturizts/status/1854008463460041078?ref_src=twsrc%5Etfw%7Ctwcamp%5Etweetembed%7Ctwterm%5E1854008463460041078%7Ctwgr%5Eefb14823edb39214a7da60089d048877d74af9fd%7Ctwcon%5Es1_&ref_url=https%3A%2F%2Fthevocket.com%2Fini-jumlah-simpanan-kwsp-yang-perlu-ada-apabila-cecah-usia-35-tahun%2F
Jumlah ini dikatakan sebagai ‘ideal’ untuk mencapai matlamat simpanan KWSP sebanyak RM240,000 ketika mencapai usia 55 tahun, iaitu umur persaraan yang disasarkan.
Dengan kadar dividen KWSP sekitar 5.50 peratus setahun, individu yang mempunyai jumlah simpanan yang disyorkan ini akan menikmati pulangan dividen sekitar RM1,100 setiap bulan, cukup untuk menampung sedikit sebanyak perbelanjaan hidup pasca persaraan.
Namun begitu, tidak dinafikan bahawa jumlah ini masih belum mencukupi, memandangkan kos sara hidup yang semakin meningkat dan cabaran ekonomi masa depan yang tidak menentu.
Dalam pada itu, The Futurizts berkongsi satu tip penting untuk meningkatkan wang simpanan KWSP.
“Pengasas RinggitPlus, Hann Liew menyarankan satu prinsip mudah yang berbunyi, “Berbelanja kurang daripada pendapatan anda dan laburkan selebihnya”.
“Jika prinsip ini dipatuhi, anda akan mendahului 90 peratus orang lain dari segi perancangan kewangan,” tulisnya lagi.
Simpan hampir RM2 juta dalam akaun KWSP, wanita 35 tahun kongsi 3 strategi penting
Selain itu, perkongsian daripada seorang wanita berusia 35 tahun yang berjaya mengumpulkan hampir RM2 juta dalam akaun KWSP telah mendapat perhatian ramai.
Beliau, yang bekerja sebagai jurutera, berkongsi tiga strategi utama yang membantunya mencapai jumlah simpanan luar biasa pada usia muda.
1. Kekal setia di syarikat yang sama
Wanita ini tidak terjebak dengan trend “job hopping” atau sering bertukar tempat kerja, sebaliknya memilih untuk kekal bekerja di syarikat yang sama.
Melalui komitmen dan kesetiaannya, beliau menikmati kenaikan pangkat dan gaji secara berterusan, yang akhirnya meningkatkan jumlah caruman KWSP.
Namun begitu, menurut The Futurizts, individu juga perlu tahu nilai diri mereka sendiri dan memastikan mereka dihargai di tempat kerja.
Jika “job hopping” boleh membuka peluang yang lebih baik dan memberikan gaji yang lebih tinggi, maka ianya boleh dipertimbangkan sebagai strategi.
2. Menyumbang secara peribadi ke akaun KWSP
Selain daripada caruman majikan, wanita ini turut membuat sumbangan tambahan secara peribadi ke dalam akaun KWSP.
Langkah ini mempercepat peningkatan simpanan persaraan dan menjadikan jumlah simpanan keseluruhan lebih besar pada usia muda.
3. Tidak mengeluarkan simpanan KWSP
Walaupun mempunyai lebih dari RM1 juta dalam akaunnya dan layak untuk membuat pengeluaran, wanita ini memilih untuk tidak menyentuh simpanannya.
Beliau berpegang kepada prinsip simpanan jangka panjang dan meletakkan matlamat persaraan sebagai keutamaan, menjadikan beliau lebih bersedia dari segi kewangan pada masa hadapan.
https://x.com/TheFuturizts/status/1854008470670041442
Dengan trend kenaikan kos sara hidup, semakin ramai rakyat Malaysia menyedari kepentingan mempunyai simpanan KWSP yang mencukupi.
Angka-angka yang dikongsikan di atas mungkin hanyalah panduan. Bagaimanapun, ia diharapkan membantu rakyat Malaysia membuat keputusan kewangan yang lebih baik dan mengatur strategi dalam menambah simpanan.
BACA: Bukan Biasa-Biasa, Macam Ni Rupanya ‘Rupa’ Passport Malaysia Bawah UV Light
BACA: Pengakhiran Baik, Imam Meninggal Dunia Saat Sujud Tilawah Ketika Solat Subuh
BACA: Netizan “Terkedu” KWSP Golongan Muda Cecah Ratusan Ribu Ringgit
Sumber: The Futurizts