Lelaki Redah Banjir, Selamatkan Banyak Kucing Terkurung Dalam Sangkar
Banjir hujung tahun memang sudah menjadi kebiasaan di beberapa kawasan di Malaysia, terutamanya akibat fenomena Monsun Barat Daya yang membawa hujan lebat.
Setiap tahun, ramai yang terpaksa menghadapi musibah ini, dengan pelbagai langkah pencegahan dan keselamatan yang diambil untuk mengurangkan kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda.
Namun, tahun ini, banyak kawasan yang dilanda banjir buat pertama kalinya, menyebabkan ramai mangsa tidak sempat membuat persiapan yang secukupnya.
Di sebalik kesulitan tersebut, ada satu kisah yang menyentuh hati ramai, iaitu kisah seorang pemuda yang berusaha keras menyelamatkan makhluk kecil yang turut terperangkap dalam bencana ini.
Fatil Kento, seorang pemuda yang dikenali kerana sering membantu kucing jalanan, baru-baru ini memuat naik video di Tiktok (@ffjkento) yang menunjukkan misi menyelamat beberapa ekor kucing yang terperangkap di Tumpat, Kelantan.
Menurut Fatil, kucing-kucing tersebut adalah milik seorang anggota frontliner, iaitu bomba yang sedang bertugas menyelamatkan mangsa banjir di kawasan lain.
Malangnya, pemilik kucing tersebut tidak menyangka rumahnya akan dilanda banjir kerana kejadian seperti itu tidak pernah berlaku sebelum ini.
Tambahan pula, dia tidak dapat pulang kerana ‘terperangkap’ di kawasan menyelamat akibat air yang semakin dalam, memaksanya untuk meminta bantuan orang lain menyelamat haiwan peliharaannya.
Dalam video, kelihatan kucing-kucing tersebut terperangkap dalam sangkar, dan apabila banjir datang, sangkar itu hanyut bersama air bah.
Namun, kucing-kucing itu ditemui tepat pada masanya, meski dalam keadaan kelaparan dan ketakutan.
“Mereka juga makhluk bernyawa…”
Menerusi perkongsian yang sudah meraih hampir 500 ribu tontonan itu, Fatil juga menyelitkan nasihat buat pecinta kucing.
“Pesanan untuk semua pecinta kucing. Jika jadi sesuatu bencana jangan tinggalkan mereka terkurung.
“Bawalah mereka sekali sebab mereka makhluk lemah yang patut dikasihi.
“Kami team rescue Kelantan anggap kucing macam keluarga sendiri,” ujarnya.
@ffjkento Selamatkan Kucing terperangkap banjir di Tumpat #kucingjalanan #banjir2024 #banjirkelantan #banjir2024 #tumpat bersama @Jeng Kreng
Selain itu, rata-rata warga maya turut mengambil video itu sebagai satu pengajaran dan peringatan.
“Nasihat untuk diri saya sendiri juga, jika terjadinya sesuatu bencana, buka sangkar supaya mereka boleh cari tempat perlindungan sendiri,”
“Rumah saya sudah paras bahaya tapi disebabkan banyak anak kucing, kami sekeluarga tak pindah supaya semua anak kucing selamat,”
“Pusat banjir perlu sediakan tempat untuk makhluk ini kerana mereka juga mangsa bencana,”
BACA: Petugas Barisan Hadapan ‘Rempuh’ Banjir, Naik Kenderaan Khas Ke Tempat Kerja
BACA: Graduan Sarung Topi Konvo Pada Ibu, Tonton ‘Live’ Majlis Di PPS Buat Ramai Sebak
BACA: Ini Penyebab Berlakunya Monsun Yang Ramai Tak Tahu
Sumber: Fatil Kento via TikTok