Awas, MetMalaysia Jangka Hujan Berterusan Di 6 Negeri
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan pada tahap buruk dan waspada bagi enam negeri bermula hari ini.
Menerusi muat naik di laman Facebook, amaran pada tahap buruk dikeluarkan bagi beberapa daerah di Terengganu dan Pahang sehingga 11 Disember. Di Terengganu, daerah Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman dijangka terima hujan berterusan. Begitu juga dengan Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang.
Sementara itu, beberapa daerah di Pahang turut dijangka alami hujan berterusan namun pada tahap waspada. Daerah Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Temerloh dan Bera tersenarai dalam amaran sehingga 11 Disember.
BACA: MB Kedah Bebas Satu Tuduhan Menghasut Berkait Sultan Selangor
Dalam pada itu, MetMalaysia turut menjangkakan hujan berterusan pada tahap waspada bagi lima negeri sehingga 12 Disember. Seluruh negeri Perlis dan Kelantan dijangka alami cuaca buruk ini.
Di Kedah, hampir keseluruhan negeri diramal terima hujan berterusan. Amaran ini meliputi Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik dan Baling.
Selain itu, Hulu Perak dan Kuala Kangsar di Perak turut dijangka alami hujan berterusan pada tahap waspada hingga 12 Disember. Manakala di Terengganu, amaran ini melibatkan Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.
Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihat agar peka dengan perubahan cuaca dan amalkan langkah keselamatan di sepanjang masa.
BACA: Banjir Bukan Pesta Air, Pantau Pergerakan Anak
Terdahulu, pihak Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu menasihati orang ramai supaya tidak menganggap bencana banjir sebagai satu pesta. Menurutnya, banjir tidak boleh dipandang ringan dan ibu bapa perlu memantau pergerakan anak-anak berikutan cuaca tidak menentu.
“Anak kecil tidak seharusnya dibenarkan bermain banjir walaupun cetek kerana risiko untuk hanyut adalah tinggi. Jika ada ahli keluarga yang uzur atau warga emas, jangan tunggu hingga ke saat akhir untuk memindahkan mereka ke tempat selamat.
“Orang ramai juga perlu sentiasa peka dengan amaran banjir pihak berkuasa, pastikan semua suis elektrik dimatikan untuk mengelakkan kejadian renjatan elektrik,” katanya.