Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Amaran Angin Kencang, Laut Bergelora – METMalaysia
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) telah mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora yang dijangka berlaku hingga 22 Januari 2025 (Rabu) ini.
Amaran tersebut melibatkan dua kategori utama iaitu untuk perairan Malaysia dalam lingkungan 24 batu nautika dan untuk kawasan perkapalan.
Bagi kawasan perairan Malaysia, amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama telah dikeluarkan.
Angin kencang dari arah timur laut dengan kelajuan antara 40 hingga 50 kilometer sejam dijangka melanda kawasan perairan Johor Timur dan Pahang.
Keadaan ini juga akan menyebabkan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter.
“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut,” maklum METMalaysia.
Selain itu, paras air laut dijangka meningkat di kawasan yang sama, di mana keadaan ini berpotensi menyebabkan limpahan air laut di kawasan pesisir pantai.
Untuk kawasan perkapalan, amaran angin kencang dan laut bergelora kategori ketiga telah dikeluarkan.
Angin dari arah timur laut dijangka bertiup melebihi 60 kilometer sejam di kawasan perairan Condore dan barat laut Reef North.
Ombak di kawasan ini pula diramal mencapai ketinggian melebihi 4.5 meter.
“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak,” kata METMalaysia.
Selain itu, amaran kategori kedua melibatkan angin kencang dengan kelajuan antara 50 hingga 60 kilometer sejam dan ombak setinggi 4.5 meter.
Kawasan yang terlibat termasuk perairan Condore, timur laut dan barat daya Reef North, serta Layang-Layang.
“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri,” kata METMalaysia lagi.
Bukan itu sahaja, amaran kategori pertama turut dikeluarkan untuk kawasan perairan selatan Tioman, Bunguran, tenggara Reef North, Reef South dan barat Palawan.
Di sini, angin kencang dengan kelajuan antara 40 hingga 50 kilometer sejam dan ombak setinggi 3.5 meter dijangka berlaku.
“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut,” tambah METMalaysia.
Justeru, orang ramai terutama nelayan, pengusaha feri dan pekerja pelantar minyak dinasihatkan agar berwaspada terhadap risiko yang mungkin berlaku.
Orang ramai juga diminta untuk sentiasa mendapatkan maklumat terkini melalui saluran rasmi METMalaysia dari masa ke masa.
BACA: Anak Murid Khabib Kekal Juara UFC
BACA: Islam Makhachev Pecah Rekod Tiga Legenda UFC
BACA: Persatuan OKU Sentral Harap Tindakan Keras Terhadap Pelaku Kes Pukul Di Terengganu
Sumber: METMalaysia