Siakap Keli
Wanita tahan bersin strok
Gambar: AI via ChatGPT

Dakwa Tahan Bersin, Doktor Dedah Wanita Diserang Strok

Dakwa Tahan Bersin, Doktor Dedah Wanita Diserang Strok

Serangan strok adalah sesuatu yang amat ‘menakutkan’ kerana ia boleh berlaku secara tiba-tiba tanpa sebarang amaran.

Dalam sekelip mata, kehidupan seseorang boleh berubah secara drastik. Daripada seorang yang sihat dan aktif kepada individu yang memerlukan bantuan untuk melakukan aktiviti harian.

Baru-baru ini, seorang doktor menerusi laman Instagramnya, @drbelswellness, berkongsi kisah mengejutkan mengenai wanita yang mengalami serangan strok, didakwa akibat menahan bersin.

“Seorang wanita kembali bekerja di pejabat pada pagi Isnin, bersedia untuk memulakan harinya. Dia seorang yang pemalu dan pendiam, namun sangat cekap dalam tugasnya. Ketika sibuk dengan kerja, dia berasa ingin bersin, lalu bersin,” kata doktor tersebut.

Disebabkan rasa malu, wanita itu dikatakan sering menahan bersin di tempat kerja bagi mengelakkan perhatian orang sekeliling.

Tidak boleh bertutur dengan betul, kepala pening & pandangan kabur

Bagaimanapun, ketika kejadian, wanita itu mendapati dirinya secara tiba-tiba tidak dapat bertutur dengan betul.

Dalam masa yang sama, kepalanya terasa pening dan pandangannya menjadi kabur.

“Rakan sekerjanya bertanya sama ada dia dalam keadaan baik, tetapi dia tidak mampu menjawab. Dalam keadaan panik dan tertanya-tanya apa yang sedang berlaku, dia cuba bergegas ke tandas untuk melihat dirinya di cermin,” tambah doktor tersebut.

Bagaimanapun, sebaik sahaja wanita itu berdiri, dia rebah ke lantai.

“Ketika ini, ramai mungkin sudah dapat meneka bahawa dia mengalami serangan strok. Tetapi apa yang mengejutkan adalah puncanya.

“Wanita ini masih muda, sihat, dan cergas—namun tanpa disedari, dia telah melakukan satu ‘kesalahan’ yang membahayakan nyawanya.

“Bersin yang dilepaskannya sebentar tadi dilakukan dengan cara yang mungkin pernah anda lakukan sebelum ini—dia menutup mulut, mencubit hidung, dan menahan bersinnya daripada keluar,” jelas doktor tersebut.

Bahaya tahan bersin

Jelasnya lagi, menahan bersin dengan cara ini boleh meningkatkan tekanan dalam saluran darah di mata, hidung atau otak.

Tekanan ini boleh menyebabkan saluran darah pecah, mengakibatkan pendarahan kecil di mata atau, dalam kes yang lebih serius, strok.

Menurut pakar perubatan, menahan bersin boleh membawa kepada pelbagai komplikasi berbahaya. Ini termasuk pecah gegendang telinga, kerosakan pada tekak dan diafragma, serta melemahkan sistem imun.

Dalam kes wanita ini, dia mengalami lumpuh buat sementara waktu, tetapi bernasib baik kerana saluran darah yang pecah tidak terlalu besar.

Dengan rawatan fisioterapi, dia akhirnya pulih sepenuhnya. Namun, tidak semua bernasib baik, kerana pendarahan di otak boleh mengancam nyawa.

“Bersin adalah mekanisme semula jadi badan untuk mengeluarkan bendasing dan tidak sepatutnya menjadi sesuatu yang memalukan.

“Oleh itu, jangan sesekali menahannya, kerana ia boleh membawa maut atau menyebabkan kecederaan serius,” nasihat doktor tersebut.

BACA: Haiwan Juga Boleh Alah Terhadap Manusia? Ini Fakta Yang Mengejutkan

BACA: Penjara Kajang ‘Diserbu’ Ramai

BACA: Faisal Halim Kembali Sarung Jersi Harimau Malaya

Sumber: Instagram @drbelswellness

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.