Tandas Sekolah Dibaiki Selepas ‘Aduan Langsung’ Murid Kepada PM Anwar
Masalah tandas di sebuah sekolah rendah telah diselesaikan dalam tempoh hanya dua hari, selepas seorang murid dipercayai membuat aduan langsung mengenainya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perkara ini dikongsikan oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim, menerusi laman X rasminya pada Selasa.
“Alhamdulillah, saya telah mendapat laporan susulan aduan langsung kepada YAB Dato’ Sri Anwar Ibrahim berkenaan masalah tandas di SK Long Jaafar di Bazar Ramadan Kamunting tempoh hari telah siap dibaiki sepenuhnya.
“YAB Perdana Menteri sentiasa memberi peringat kepada seluruh anggota Kerajaan MADANI agar sentiasa turun ke lapangan bagi bertemu seberapa ramai mungkin rakyat dibawah agar laporan dan aduan keperluan terdesak rakyat ini mendapat tindakan segera,” kata beliau.
Tidak hanya itu, beliau turut berkongsi tangkap layar yang mengesahkan bahawa tandas sekolah yang rosak itu telah dibaiki sepenuhnya pada 16 Mac.
https://x.com/kamilmunim/status/1901949738951291236?t=qqBHo6yGg-zgXZHy1ZsbZA&s=19&fbclid=IwY2xjawJIYnpleHRuA2FlbQIxMAABHRhJe_nIa0Uciy5VFgw9-ngXsgXsh8BPEEKgeGLoaa1BB2puJNBm5sEhpg_aem_6n2muMkjxho-BTRMY2sAYw
Untuk info, satu perkongsian video memaparkan seorang murid membuat aduan langsung kepada Anwar mengenai tandas sekolahnya telah tular di media sosial.
Dalam video berdurasi pendek tersebut, detik mencuit hati itu berlaku ketika lawatan Anwar ke Bazar Ramadan Kamunting pada 14 Mac.
Anwar dilihat beramah mesra dengan orang ramai, termasuk sekumpulan kanak-kanak. Namun, perbualan tiba-tiba bertukar menjadi sesi aduan mengenai keadaan tandas sekolah murid tersebut.
Difahamkan, kanak-kanak itu mula ‘mengadu’ masalah tandas berkenaan apabila Anwar bertanya tentang sekolahnya.
Sebagai respons, Anwar memberi jaminan bahawa beliau akan membawa perkara itu kepada perhatian Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
BACA: Wanita ‘Gelabah’ Minta Tolong Netizen Lepas Cuci Samping Suami
BACA: Pemain Warisan Baharu Harimau Malaya
BACA: Ini Yang Perlu Anda Tahu Tentang Maksud “Dilepaskan Tanpa Dibebaskan”
Sumber: X @kamilmunim