Rasmi, “Trailer” Filem Keluang Man Dilancarkan Buat Ramai Kagum
Buat julung kalinya, treler filem yang dinanti-nantikan Keluang Man dilancarkan hari ini.
Treler filem yang dinspirasikan daripada siri animasi ikonik tempatan itu dikongsikan Golden Screen Cinemas (GSC) dalam satu hantaran di Facebook.
Filem aksi langsung terbitan Astro Shaw ini diarah dan ditulis oleh Anwari Ashraf, berdasarkan siri animasi popular pada tahun 1990-an itu. Ia bakal menemui para peminat adiwira ikonik ini di pawagam pada 29 Mei depan.
“Khas untuk mereka yang tertunggu-tunggu, kami bawakan Official Trailer Filem Keluang Man bagi semua yang dah tak sabar nak tengok!” tulis kapsyen pada hantaran itu.
https://www.facebook.com/GSCinemas/videos/2475124352821346
Bersedia untuk kembali ke zaman kanak-kanak
Sementara itu, menjengah ke ruangan komen rata-rata netizen sudah tidak sabar menyaksikan filem adiwira tempatan itu di pawagam.
“Ajomm!” komen seorang pengguna.
“Gempak! Boleh 100 juta nie,” luah seorang pengguna.
“CGI letop tu. Adoi,” komen seorang lagi yang kagum melihat klip video itu.
Untuk makluman, filem ini dibintangi oleh barisan pelakon seperti Nas-T, Remy Ishak, Rosyam Nor, Anwaar Beg Moghal, Shweta Sekhon, Amelia Henderson dan ramai lagi.
Sinopsis Keluang Man 2025
Filem ini mengisahkan Borhan, seorang bekas pesakit hospital mental di Tampoi yang kini menjalani kehidupan sebagai wira misteri, Keluang Man. Berbekalkan kemahiran dalam seni mempertahankan diri serta kebijaksanaan yang luar biasa, dia membanteras jenayah di bandar kecil Kluang.
Namun, ketenangan mula tergugat apabila muncul sebuah organisasi jenayah rahsia yang diketuai oleh musuh ketatnya, Shamsir. Dalam usaha menumpaskan ancaman ini, Borhan dibantu oleh sahabat setianya, Inspektor Sahab, sambil bergelut dengan konflik dalaman, persoalan tentang kewarasan dirinya, dan cabaran menjadi pelindung sebenar.
Filem ini turut menyelitkan elemen seperti aksi, drama dan humor termasuk memberi penghormatan kepada siri asal.
Sumber: Facebook GSC