Paraglider ‘Terperangkap’ Dalam Awan Pada Ketinggian Hampir 9,000 Meter
Seorang paraglider dilaporkan mengalami detik mencemaskan apabila ‘terperangkap’ ke dalam pusaran awan.
Mangsa kemudiannya diterbangkan setinggi 8,598 meter dari paras laut di kawasan Pergunungan Qilian, yang terletak di sempadan wilayah Qinghai dan Gansu, barat laut China.
Kejadian yang berlaku pada Sabtu lalu itu kini sedang disiasat oleh pihak berkuasa tempatan, menurut laporan Guangming Daily pada Selasa, seperti dilapor Global Times.
Difahamkan, kejadian tersebut turut dirakam sepenuhnya menerusi video oleh mangsa sendiri.
BACA: Imej Burung Misteri Di Matahari Cetus Tanda Tanya, Saintis Tampil Jelaskan
Menurut laporan, paraglider itu didakwa berlepas dari altitud melebihi 3,000 meter.
Namun, apabila alat kawalan paraglidenya gagal berfungsi dengan baik, ia menyebabkan mangsa terapung secara tidak terkawal sehingga mencapai ketinggian melebihi 8,000 meter.
Rakaman video menunjukkan mangsa mengalami kecederaan akibat radang dingin yang teruk.
Walau bagaimanapun, beliau kekal sedar sepanjang insiden dan berjaya mengawal paraglidenya sehingga mendarat dengan selamat.
Mangsa turut berkongsi pengalaman mengerikan itu dalam video tersebut, termasuk detik beliau mengalami kekurangan oksigen di udara.
Beliau mengakui terlupa memakai semula sarung tangannya, menyebabkan tangan terdedah kepada suhu beku yang melampau.
BACA: Tak Dibenar Naik Pesawat, Kisah Perjalanan Al Gaddafi Tunai Haji Buat Ramai Sebak
Seorang penggiat paragliding berpengalaman yang hanya dikenali sebagai Ou menjelaskan, mereka yang menyertai sukan ini kebiasaannya dilengkapi pakaian tahan sejuk. Ini kerana suhu di paras 2,000 meter sudah cukup menggigilkan.
Pada paras 8,000 meter, suhu boleh menjunam sehingga -40°C dengan paras oksigen yang sangat rendah.
Menurut Jiupai News, Ou turut menyatakan bahawa kejadian seperti ini sangat jarang berlaku. Kebanyakan mangsa yang terperangkap dalam awan pada altitud sekitar 6,000 hingga 7,000 meter sukar untuk selamat.
“Insiden ini memang luar biasa. Ketahanan mentalnya benar-benar hebat,” ujarnya.
BACA: Pelakon Korea Selatan, Choi Jung Woo Meninggal Dunia
Sumber yang rapat dengan kejadian memaklumkan bahawa walaupun paraglider tersebut memiliki lesen sah, beliau dipercayai tidak mengemukakan pelan penerbangan rasmi dan tidak mendapatkan kelulusan ruang udara untuk lokasi pelancaran pada hari kejadian.
Difahamkan, pihak berkuasa kini sedang menjalankan siasatan terhadap kemungkinan pelanggaran undang-undang berkaitan aktiviti udara.
Untuk info, mengikut peraturan sukan udara kebangsaan China, semua aktiviti penerbangan memerlukan kelulusan terlebih dahulu daripada kawalan trafik udara, dan mana-mana individu yang melanggar peraturan ini boleh dikenakan tindakan.
Sumber: Global Times