Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Poland Sahkan Kolera Tempatan Yang Jarang Berlaku Di Stargard
GENEVA (Bernama) – Pihak berkuasa kesihatan Poland mengesahkan satu kes kolera yang jarang berlaku melibatkan seorang wanita warga emas dari Stargard, sekali gus menimbulkan kebimbangan tentang kemungkinan penularan tempatan, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik media tempatan pada Ahad.
Ketua Inspektor Sanitasi Paweł Grzesiowski berkata wanita itu, yang tidak pernah keluar negara, disahkan menghidap kolera selepas mengalami cirit-birit yang teruk. Diagnosis itu disahkan melalui dua ujian berasingan.
“Kes ini nampaknya adalah kes tempatan,” kata Grzesiowski, sambil menjelaskan yang kes kolera di Poland lazimnya melibatkan pelancong yang pulang dari luar negara.
Disebabkan sifat penyakit ini yang mudah berjangkit dan boleh menjadi serius, pesakit dipindahkan ke hospital penyakit berjangkit khas di Szczecin.
Lebih 20 individu yang mempunyai kontak dengan pesakit dikuarantin sebagai langkah berjaga-jaga bagi mencegah penularan selanjutnya.
Kolera disebabkan oleh bakteria Vibrio cholerae dan lazimnya merebak melalui air yang tercemar. Ia boleh menyebabkan penyahhidratan serius dan kematian jika tidak dirawat. Rawatan merangkumi antibiotik dan terapi intensif penghidratan semula.
Kes ini mendorong pihak berkuasa kesihatan untuk menyiasat sumber pencemaran dan menilai risiko jangkitan lanjut di kawasan itu.
Sumber: Bernama
BACA: 20 Tahun Koma, Ini Tragedi Di Sebalik Gelaran ‘Putera Tidur’
BACA: Tiada Kaitan Dengan Jeruk, Ini Kisah Asal Usul Nama “Pickleball”