"Aku Pula Lain Sikit..." Daler Yusuf Kongsi Detik Perkenalan Bersama Isteri
Rahsia jodoh adalah salah satu ketentuan Allah SWT yang tiada siapa yang mengetahui.
Kadangkala, jodoh itu hadir dalam bentuk yang paling mengejutkan.
Ada di antara kita yang telah mengenali seseorang selama berpuluh tahun, namun tidak menyangka bahawa rakan sepermainan semasa kecil itulah yang akhirnya menjadi pasangan hidupnya.
Sebaliknya, ada juga yang baru bertemu selama sebulan, namun ikatan hati membawa mereka bersatu di jinjang pelamin dengan penuh ketentuan dan keberkatan.
Takdir ini menunjukkan bahawa jodoh bukanlah hasil usaha manusia semata-mata, tetapi adalah rahsia Allah yang penuh hikmah.
Oleh itu, penting bagi setiap insan untuk bersabar, sentiasa berdoa dan bertawakkal sambil percaya bahawa Allah SWT mengetahui yang terbaik untuk setiap hamba-Nya dalam menentukan pasangan hidup.
Daler Yusuf kongsi detik perkenalan bersama isteri
Seorang pelakon tempatan, Daler Yusuf baru-baru ini berkongsi detik perkenalan dengan isterinya di aplikasi Threads.
Daler menceritakan bahawa dia tidak melalui pengalaman seperti kebanyakan orang yang bertemu jodoh melalui media sosial dan sempat bercinta sebelum berkahwin.
Perjalanannya sedikit berbeza kerana arwah datuknya yang mengatur perkahwinan untuknya.
"Ramai yang kongsikan cerita jumpa jodoh melalui dating apps, Facebook atau Instagram, dating dulu, baru kahwin. Sweet, kan?
"Tapi pengalaman aku sedikit berbeza…
"Tahun 2013, aku kena “friend-zoned” dengan crush pertama. Hati remuk, terus balik kampung
"Tiba-tiba, atuk (Al-Fatihah) aturkan perkahwinan untuk aku. Tak sempat fikir panjang, dalam sebulan dah kahwin," katanya.
Daler turut berasa bersyukur kerana keputusan tersebut membawa kebahagiaan berpanjangan sehingga ke hari ini.
Malah pelakon itu juga menitipkan pesan bahawa jodoh tidak semestinya hadir melalui cara yang dirancang sendiri sebaliknya kadangkala datang melalui restu keluarga, doa dan kesabaran menerima ketentuan Ilahi.
"Alhamdulillah, kini dah 13 tahun kami bersama. Cinta kami sebenarnya bermula selepas berkahwin. Kadang-kadang, jodoh datang melalui restu keluarga, doa yang tidak putus dan kesabaran menerima ketentuan Allah SWT," ujarnya lagi.