Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang melibatkan tujuh negeri dan dua Wilayah Persekutuan (WP) hingga 7 malam ini.
Amaran yang dimuat naik di laman Facebook jabatan berkenaan meramalkan hujan lebat bakal melanda kebanyakan kawasan di Melaka, WP Kuala Lumpur dan WP Putrajaya.
“Di Kedah, kawasan yang dijangka alami hujan lebat termasuk Sik, Baling dan Kulim.
“Manakala di Perak, hujan lebat diramal landa daerah Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar dan Kinta. Begitu juga Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim,” maklum jabatan tersebut.
Cuaca di Pahang menunjukkan hujan lebat bakal melanda daerah Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Jerantut dan Kuantan.
Amaran hujan lebat di Selatan Semenanjung
Terus ke Selangor, daerah yang dijangka alami hujan lebat termasuk Hulu Selangor, Gombak, Petaling, Hulu Langat dan Sepang.
Di Negeri Sembilan, MetMalaysia menjangkakan hujan lebat di beberapa kawasan antaranya Seremban, Port Dickson, Kuala Pilah, Rembau dan Tampin.
Turun ke Johor, daerah Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru turut dijangka hujan lebat hingga malam ini.

“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir ATAU dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” jelas MetMalaysia.
Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihat mengamalkan langkah berjaga-jaga ketika berada di luar.

