Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

China Lapor Lebih 7,000 Kes Chikungunya: Ketahui Simptom, Punca & Rawatan

Chikungunya China
Gambar: Narayana Health

China Lapor Lebih 7,000 Kes Chikungunya: Ketahui Simptom, Punca & Rawatan

China kini berdepan dengan wabak besar penyakit chikungunya apabila lebih 7,000 kes dilaporkan di wilayah Guangdong.

Keadaan ini telah memaksa pihak berkuasa mengambil langkah kawalan yang hampir menyerupai tindakan sewaktu penularan COVID-19.

Antara kawasan yang paling terjejas ialah bandar Foshan, di mana pesakit chikungunya diarahkan untuk kekal di hospital sehingga keputusan ujian mereka menunjukkan negatif.

Dalam satu kenyataan awam yang dikeluarkan pada Ahad, farmasi diarah untuk melaksanakan pendaftaran nama sebenar bagi pembelian ubat berkaitan simptom chikungunya seperti demam, ruam dan sakit sendi. Rekod pembelian juga diwajibkan.

Menurut SCMP seperti dilapor NDTV, individu yang baru pulang dari bandar-bandar yang terjejas di Guangdong turut diarahkan untuk memantau sendiri sebarang simptom selama beberapa hari selepas pulang.

Dalam masa yang sama, beberapa hotel dan restoran telah dikenakan tindakan undang-undang kerana gagal menghapuskan tempat pembiakan nyamuk.

Selain Foshan, sekurang-kurangnya 12 lagi bandar di China turut melaporkan jangkitan dengan hampir 3,000 kes dicatatkan hanya dalam tempoh seminggu.

Sementara itu, Hong Kong turut mencatatkan satu kes pertama chikungunya yang diimport dalam tempoh enam tahun, sekali gus meningkatkan risiko penularan tempatan.

Pihak berkuasa diminta memperhebat usaha pencegahan memandangkan data menunjukkan kawasan pembiakan nyamuk pembawa chikungunya agak meluas, dengan lebih 70 peratus kawasan yang disiasat dikenal pasti berisiko.

Apa itu chikungunya?

Chikungunya ialah penyakit virus yang disebarkan kepada manusia melalui gigitan nyamuk yang dijangkiti, terutamanya nyamuk Aedes aegypti dan Aedes albopictus.

Cuaca lembap ketika musim hujan menjadi faktor utama peningkatan populasi nyamuk.

Walaupun penyakit ini jarang berlaku di China, wabak chikungunya sering terjadi di Asia Selatan, Asia Tenggara dan beberapa wilayah di Afrika.

Simptom penyakit chikungunya

Simptom utama chikungunya ialah sakit sendi yang sangat teruk dan merasa kaku khususnya pada tangan, pergelangan tangan, pergelangan kaki dan lutut.

Sakit sendi ini jauh lebih menyakitkan berbanding jangkitan virus biasa dan merupakan petunjuk utama seseorang dijangkiti chikungunya.

Antara simptom lain termasuklah sakit otot, keletihan melampau, lemah seluruh badan serta ruam merah dan bertompok di dada, anggota badan atau muka.

Kebiasaannya, simptom akan muncul dalam tempoh tiga hingga tujuh hari selepas digigit nyamuk yang dijangkiti.

Rawatan chikungunya

Sehingga kini, tiada rawatan khusus untuk chikungunya. Rawatan yang diberikan hanya bertujuan meredakan simptom.

Antara langkah rawatan termasuk:

  • Berehat secukupnya

  • Pengambilan cecair yang mencukupi bagi mengelakkan dehidrasi

  • Ubat tahan sakit (analgesik) dan ubat demam (antipiretik)

  • Penggunaan ubat anti-radang bukan steroid (NSAID) untuk merawat demam dan sakit akut

Pesakit juga dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan doktor sekiranya simptom berlanjutan atau menjadi lebih serius.

Langkah pencegahan

Pencegahan chikungunya bergantung kepada kawalan populasi nyamuk dan perlindungan diri daripada gigitan. Antara langkah yang boleh diambil:

  • Menghapuskan tempat pembiakan nyamuk seperti takungan air

  • Menggunakan semburan nyamuk atau losyen penghalau serangga

  • Memakai pakaian yang menutupi anggota badan

  • Memasang jaring nyamuk di rumah

BACA: Dakwa Tahan Bersin, Doktor Dedah Wanita Diserang Strok

BACA: Doktor Dakwa “Sedu” Boleh Undang Strok Paling Berbahaya

BACA: Imej X-Ray Tunjuk Tubuh Pesakit Dipenuhi Ratusan Bintik Putih, Doktor Beri Amaran

Sumber: NDTV