Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

"Jiran Yang Baik Pun Rezeki," Wanita Terharu Jiran Tolong Jaga, Siram Tanamannya
Dalam kehidupan seharian, tanpa kita sedar sebenarnya terlalu banyak rezeki kecil yang Tuhan kurniakan kepada kita.
Ada kalanya kita lebih mudah melihat kekurangan dan sering mengeluh tentang apa yang tidak dimiliki, sedangkan di sekeliling kita sudah dipenuhi dengan pelbagai nikmat yang patut disyukuri.
Rezeki itu bukan hanya dalam bentuk wang atau harta, tetapi juga hadir melalui perkara-perkara sederhana seperti kesihatan, ketenangan dan kehadiran insan baik di sekeliling.
Kadangkala, kebaikan kecil daripada orang lain itulah yang memberi makna besar dalam hidup kita.
Baru-baru ini, tular sebuah video di media sosial yang memaparkan seorang wanita warga emas yang menyiram tanaman jirannya.
Menerusi video yang dikongsikan oleh @azira.abdullah di TikTok, wanita berusia sekitar 70 tahun itu dilihat menyiram tanaman milik mereka di tepi tembok pagar.
Menurutnya, dia menyedari setiap kali dia pulang ke kampung atau meninggalkan rumah untuk tempoh yang lama, pokok-pokok yang ditanam tetap kelihatan segar dan terjaga.
"Saya perasan, tiap kali saya balik kampung atau keluar kawasan lama-lama pun, pokok-pokok yang saya tanam masih segar. Saya memang dah agak nenek tolong siramkan," ujarnya.
Difahamkan, wanita warga emas tersebut memang gemar berkebun dan rumahnya dipenuhi dengan pelbagai jenis tanaman.

Tambah @azira.abdullah lagi, walaupun cuaca panas di Kedah melanda, tanaman mereka masih kekal subur hasil keprihatinan jiran tersebut.
Apa yang lebih menyentuh hati, hubungan antara mereka juga sangat rapat, malah warga emas itu sudah dianggap seperti ahli keluarga sendiri.
“Dia dah anggap kami macam anak cucu dia. Kalau dia sakit atau ada kecemasan, dia akan hubungi saya. Kalau dia tahu kami tak sihat pun, dia tetap datang tolong,” jelasnya.
Perkongsian ini telah membuka mata ramai bahawa hubungan baik dengan jiran juga merupakan antara rezeki dalam kehidupan.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna TikTok memberi pelbagai reaksi.
Kebanyakannya, turut berkongsi pengalaman mempunyai jiran yang baik.
"Saya dulu dapat jiran macam ni, subur pokok saya. Sekarang, jiran saya tu dah pindah. Alahai, dapat jiran yang baik pun rezeki," komen seorang warga maya.
"Saya pun ada jiran yang baik. Jiran saya rajin juga datang rumah. Kalau lama tak nampak saya, dia datang rumah saya. Saya panggil Tok Cik umur dah 80+ tahun. Sihat kuat lagi. Rumah saya tingkat 4," komen seorang lagi warga maya.