Trend nama anak di Malaysia kini semakin berubah, seiring peredaran masa apabila ibu bapa moden tidak lagi terikat dengan nama klasik semata-mata.
Perubahan ini dapat dilihat dengan jelas melalui pilihan nama yang semakin ringkas, moden dan mudah disebut berbanding nama panjang yang sinonim dengan generasi terdahulu.
Pemberian nama kepada anak yang baru dilahirkan menjadi saat yang dinanti-nanti oleh setiap pasangan suami isteri. Ia sering dianggap sebagai langkah pertama ibu bapa membentuk identiti di kecil.
Tidak dapat dinafikan, pemilihan nama hari ini bukan hanya bergantung kepada sebutan yang sedap didengar, malah melihat kepada kesesuaian dengan nilai moden.
Ramai ibu bapa yang turut mempertimbangkan trend terkini dalam menentukan pilihan.
Bagi sesetengah pasangan, proses ini mencetuskan perbincangan yang panjang. Ada yang mengambil masa berbulan-bulan untuk memutuskan nama terbaik, termasuk menyenarai pendek beberapa pilihan sebelum mencapai kata sepakat.
Hal ini berikutan pemberian nama bukan sekadar simbol identiti, malah membawa doa, harapan dan makna tersendiri buat masa hadapan si kecil.
Trend Nama Anak Terkini Di Malaysia
Baru-baru ini, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berkongsi satu senarai yang menunjukkan pilihan nama yang semakin popular dalam kalangan ibu bapa generasi kini.
"Nama klasik semakin kurang digunakan berbanding dahulu," kongsi jabatan berkenaan dalam satu hantaran di laman Facebook.
Antara inspirasi nama yang tersenarai merupakan Aariz, Zayn, Danish dan Arissa. Selain itu, ibu bapa juga semakin gemar menggunakan inspirasi nama Rayyan, Nayla, Aydan dan Kiara.
Nama-nama yang menjadi pilihan terkini dikenal pasti mempunyai ciri pendek dan moden, serta berbunyi antarabangsa. Malah, ejaan juga lebih ringkas dan kreatif.
Dalam pada itu, JPN turut menyenaraikan nama yang banyak digunakan sebelum tahun 2000. Senarai 'Warisan Nama' ini meletakkan nama Kamarudin, Kasim, Baharudin dan Zainal antara nama yang menjadi pilihan ketika itu.
Begitu juga dengan nama Osman, Salleh dan Mustapha.
Trend nama anak ketika itu mempunyai ciri-ciri nama penuh dan klasik, serta mempunyai pengaruh warisan keluarga. Nama yang dipilih juga sarat dengan nilai budaya dan tradisi.
Perubahan trend ini menunjukkan bagaimana pemilihan nama anak di Malaysia terus berkembang, selari dengan peredaran zaman.