Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Penuh Macam Solat Jumaat, Masjid TNB 'Dibanjiri' Belia Untuk Qiamullail
Qiamullail ialah satu amalan sunat yang bererti ‘bangun malam’ iaitu bangun dengan tujuan untuk beribadat kepada Allah SWT.
Amalan qiamullail bukanlah satu perkara baru, bahkan ianya merupakan ibadat yang sudah menjadi darah daging atau amalan para rasul, nabi-nabi, orang soleh dan alim ulama sejak dahulu lagi.
Antara amalan-amalan yang disunatkan semasa qiamullail ialah mengerjakan sembahyang-sembahyang sunat, membaca al-Quran, berzikir dan beristighfar memohon ampun ke hadrat Allah SWT.
Masjid Tenaga Nasional Berhad (TNB) Bangsar sekali lagi menjadi tumpuan apabila dipenuhi orang ramai yang menyertai program qiamullail sehingga suasananya hampir menyerupai solat Jumaat.
Perkara itu turut menjadi tular apabila ramai jemaah, khususnya golongan muda sanggup bangun awal pagi untuk mengimarahkan masjid tersebut.
Masjid TNB Bangsar dikenali bukan sekadar kerana keindahan seni bina atau juadah berbuka puasa yang disediakan, malah layanan istimewa yang diberikan oleh orang ramai kepada setiap pengunjung tanpa mengira status.
Menerusi video yang dikongsikan oleh @fizohelmi di TikTok, beliau memaparkan kehadiran ribuan para jemaah memenuhi setiap sudut ruangan masjid berkenaan.
“Iktikaf dan qiamullail Masjid TNB. Suasana yang penuh ketenangan,” katanya di ruangan kapsyen.
Menerusi perkongsian @adampergibulan, beliau turut menunjukkan kemeriahan masjid tersebut yang hampir dipenuhi oleh golongan Gen Z.
Sebelum ini, SK berkongsi kisah seorang wanita yang memohon agar pengumuman dibuat di masjid bagi meminta bantuan.
“Kepada pengacara majlis TNB yang tolong umumkan kehilangan suami sebelum berbuka tadi, terima kasih,” kongsi seorang pengguna Threads.
Kehadiran @littlemisszale di Masjid TNB Bangsar menjadi bualan warga maya apabila wanita tersebut meminta pihak pengurusan masjid membantunya mencari suami yang ‘hilang’.
Katanya, kejadian tersebut bermula apabila dia menurunkan suaminya dahulu untuk mengambil makanan berbuka puasa di masjid berkenaan.
“Tadi ramai sangat. Parkir pun jauh. Jadi dia kalut turun, telefon tertinggal,” kata wanita itu.
Berikutan itu, wanita tersebut cuba untuk mencari suaminya sendiri. Namun, kehadiran jemaah yang begitu ramai membuatkan dirinya keliru.
“Saya pun keliru juga tengok tadi, tak boleh nak kenal mana satu suami sendiri sebab ramai sangat.
“Terima kasih pasukan Masjid TNB Bangsar,” ucapnya lanjut.