Utama

Berita

Politik

Politik

Berita

Berita

Luar Negara

Berita

Politik

Politik

Berita

Berita

Luar Negara

Hak pekerja wanita di Sepanyol mula mendapat perhatian apabila negara berkenaan memperkenalkan dasar cuti haid berbayar.
Haid merupakan proses semula jadi yang dialami hampir semua wanita setiap bulan. Kitaran ini lazimnya berlaku sekitar setiap 28 hari sebagai sebahagian daripada sistem pembiakan wanita.
Kitaran haid berlaku apabila tubuh menyingkirkan pengumpulan darah dan tisu daripada lapisan rahim. Bagi sesetengah wanita, tempoh ini disertai kesakitan yang boleh mengganggu rutin harian.
Tahukah anda. Sepanyol telah memperkenalkan cuti haid berbayar pada 1 Jun 2023 bagi mempromosi hak wanita di tempat kerja.
Langkah ini menjadikan negara itu sebagai negara pertama di Eropah yang melaksanakan dasar tersebut.

Dasar berkenaan membolehkan seorang wanita mengambil cuti berbayar apabila sedang mengalami senggugut yang amat menyakitkan ketika haid dan tidak dapat hadir bekerja.
Pekerja wanita di Sepanyol diberikan hak cuti haid dari tiga hingga lima hari bagi individu yang mengalami masalah haid sehingga menyebabkan kekejangan teruk, loya, pening dan muntah.
Biarpun pengumuman tersebut mendapat perhatian dunia, realiti selepas undang-undang tersebut dilaksanakan menimbulkan tanda tanya.

Menurut The European Correspondent, kurang daripada 4,000 cuti haid diluluskan oleh doktor sejak dasar itu diperkenal sehingga tahun 2025.
Jumlah ini bersamaan kira-kira lima permohonan sahaja dalam sehari bagi negara yang mempunyai 10 juta pekerja wanita. Lebih menghairankan, lebih 70 peratus wanita dalam usia reproduktif melaporkan mengalami senggugut ketika haid setiap bulan.
Namun, kebanyakan mereka masih memilih untuk tidak memohon cuti khusus tersebut.
Rupa-rupanya, terdapat satu faktor utama yang menjadi punca keadaan ini berlaku.
Menurut peguam dan setiausaha meja Wanita, Kesaksamaan dan Keadaan Kerja di kesatuan sekerja terbesar Sepanyol, Comisiones Obreras, Carolina Vidal, stigma tentang kesihatan haid merupakan punca utama cuti ini tidak mendapat sambutan.
Ramai wanita bimbang dipandang serong selepas kembali daripada bercuti.
Berdasarkan kajian yang dilakukan, hampir tiga daripada lima wanita berusia 25 tahun hingga 29 tahun bimbang tentang kesan terhadap kerjaya mereka.
Hampir separuh daripada wanita berusia 15 hingga 49 tahun enggan bercuti kerana takut dipecat kerana dianggap tidak bersedia atau tidak produktif.
Hakikatnya, senggugut atau dysmenorrhea merupakan ketidakselesaan yang kebiasaannya dialami wanita ketika haid. Satu daripada lima wanita mengalami kesakitan sehingga mengganggu rutin harian.
Sebagai pengetahuan, endometriosis dikenal pasti sebagai punca utama sakit haid teruk. Keadaan ini berlaku apabila tisu rahim tumbuh di luar rahim.
Biarpun cuti haid di Sepanyol menawarkan pembayaran gaji dari hari pertama cuti berbanding cuti sakit yang hanya dibayar bermula hari keempat, masih ramai yang memilih untuk memohon cuti sakit.
Keadaan ini menggambarkan cabaran sosial masih membayangi pelaksanaan dasar yang melindungi hak wanita di sana.
Portugal turut memperkenalkan tiga hari cuti haid, berkuatkuasa pada 26 April 2025.