Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Selalu Muncul, Ini Sebenarnya Maksud "Cookies Internet" Dalam Laman Web
Setiap kali kita melayari laman web, pasti akan muncul satu paparan kecil di bahagian bawah atau tengah skrin yang meminta kita untuk Accept Cookies.
Ada yang terus tekan terima tanpa membaca, ada juga yang tertanya-tanya apa sebenarnya fungsi paparan tersebut.
Hal ini sudah menjadi perkara biasa dalam pengalaman melayari internet hari ini, tidak kira sama ada kita membuka laman berita, membeli-belah dalam talian atau sekadar mencari maklumat.
Namun begitu, pernahkah kita benar-benar memahami apa maksud cookies dalam sebuah laman web?
Justeru, hari ini SK akan menjelaskan maksud sebenar cookies internet yang ramai belum tahu.
Menurut portal Kaspersky, cookies internet ialah fail kecil berbentuk teks yang disimpan dalam pelayar web anda apabila anda melayari sesuatu laman web.
Difahamkan, fail ini mengandungi maklumat ringkas seperti nama pengguna, pilihan bahasa atau item yang anda masukkan ke dalam troli beli-belah.
Tujuan utama cookies adalah untuk mengenal pasti anda sebagai pengguna supaya laman web dapat mengingati aktiviti dan pilihan anda.

Contohnya, jika anda sudah log masuk ke sesuatu laman web, cookies membantu anda kekal log masuk tanpa perlu memasukkan kata laluan berulang kali.
Apabila anda melawat sesuatu laman web, pelayan (server) laman tersebut akan menghantar data kecil ke pelayar anda.
Data itu disimpan sebagai cookies. Apabila anda kembali ke laman yang sama, pelayar anda akan menghantar semula cookies itu supaya laman web dapat mengenali anda.
Ringkasnya, cookies boleh diibaratkan seperti kad pengenalan sementara semasa anda berada di sesuatu laman web.
Kaspersky menjelaskan, kini banyak laman web memaparkan notis meminta kebenaran untuk menggunakan cookies.
Hal ini kerana undang-undang perlindungan data seperti GDPR di Eropah dan CCPA di California, mewajibkan laman web mendapatkan persetujuan pengguna sebelum mengumpul data tertentu.
Sebab itu anda sering melihat pop-up bertanya sama ada anda bersetuju menerima cookies atau tidak.
Menurut portal Kaspersky, terdapat dua jenis utama cookies.
Pertama, session cookies yang hanya aktif semasa anda melayari laman web. Apabila anda tutup pelayar, cookies ini akan dipadam secara automatik.
Kedua, persistent cookies yang kekal disimpan dalam peranti anda untuk tempoh tertentu. Ia membantu laman web mengingati anda walaupun anda kembali selepas beberapa hari atau minggu.

Selain itu, cookies juga boleh dibahagikan kepada first-party cookies dan third party cookies.
First-party cookies dicipta oleh laman web yang anda lawati sendiri yang difahamkan biasanya lebih selamat.
Third-party cookies pula dicipta oleh pihak lain seperti pengiklan. Ia digunakan untuk menjejak aktiviti pelayaran anda bagi tujuan iklan dan analitik.
Secara ringkasnya, portal Kaspersky menjelaskan yang cookies digunakan untuk:
Mengekalkan anda dalam keadaan log masuk
Menyimpan barangan dalam troli beli-belah
Mengingati pilihan bahasa
Memaparkan iklan yang berkaitan dengan minat anda
Menganalisis bagaimana anda menggunakan sesuatu laman web
Tanpa cookies, pengalaman melayari internet akan menjadi kurang lancar kerana anda perlu mengisi semula maklumat setiap kali masuk ke laman web

Menurut portal Kaspersky, kebanyakan cookies tidak berbahaya dan membantu memudahkan penggunaan internet.
Namun, ada juga cookies pihak ketiga yang digunakan untuk menjejak aktiviti pelayaran bagi tujuan pengiklanan.

Jika anda tidak selesa, anda boleh mengawal atau memadam cookies melalui bahagian tetapan pelayar di bawah Privacy atau Settings.
Secara ringkasnya, cookies ialah alat yang memudahkan pengalaman internet anda, tetapi tetap penting untuk berhati-hati dan mengurusnya dengan bijak demi menjaga privasi.