Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Trump Kata AS Jadi ‘Pengawal’ Selat Hormuz, Mahu Kenakan Caj 20 Peratus

AS Jadi ‘Pengawal’ Selat Hormuz
Kredit: AFP

Trump Kata AS Jadi ‘Pengawal’ Selat Hormuz, Mahu Kenakan Caj 20 Peratus

Presiden Donald Trump memaklumkan bahawa Amerika Syarikat (AS) sedang mengenakan semula sekatan laut terhadap pelabuhan-pelabuhan Iran dan 'mengambil alih' Selat Hormuz.

Dalam satu kenyataan di Facebook dan Truth Social, Trump berkata AS akan mengenakan caj sebanyak 20 peratus ke atas kargo yang lalu di situ.

Beliau mengeluarkan kenyataan itu selepas serangan AS dan Iran pada skala yang tidak pernah berlaku sejak gencatan senjata pada April.

"Selat Hormuz terbuka dan akan kekal terbuka, dengan atau tanpa Iran. Kami sedang mengembalikan semula sekatan terhadap Iran, yang dinamakan sedemikian kerana ia hanya menghalang kapal atau pelanggan Iran daripada masuk atau keluar.

"Semua negara lain boleh menggunakan Selat dengan adil dan terbuka. AS mulai saat ini akan dikenali sebagai Pengawal Selat Hormuz," katanya.

Iran mula menyekat selat itu selepas AS dan Israel melancarkan serangan pada akhir Februari, yang mendorong Washington menghentikan penghantaran ke dan dari pelabuhan Iran.

Kredit: AFP

Sekatan tersebut dilonggarkan selepas kedua-dua pihak bersetuju dengan memorandum persefahaman pada bulan Jun yang bertujuan untuk menamatkan perang.

Seiring dengan 'tanggungjawab itu', AS kini berusaha untuk mendapatkan bayaran bagi melindungi perkapalan.

Trump berkata bahawa AS akan dibayar balik pada kadar 20 peratus ke atas semua kargo yang dihantar, untuk semua kos yang diperlukan bagi menjalankan tugas menyediakan keselamatan dan sekuriti.

Sementara itu, Iran pada Isnin menegaskan bahawa mereka tidak akan membenarkan AS 'campur tangan' di laluan utama minyak dan gas itu.

Pemerintah tentera Iran turut memberi amaran kepada negara-negara jirannya di Teluk agar tidak bekerjasama dengan Washington.

Ketika ditemu bual di televisyen, Trump berkata AS sedang mengambil alih Selat Hormuz dan mengadu tentang taktik perunding Iran yang mahukan perubahan dalam apa yang dipersetujui semasa rundingan selama berjam-jam pada hujung minggu.