Siakap Keli
badminton indonesia
Kredit: Kompas.com

Pemain Badminton Indonesia, Syabda Perkasa & Ibu Maut Nahas Kemalangan

Pemain Badminton Indonesia, Syabda Perkasa & Ibu Maut Nahas Kemalangan

Pemain badminton Indonesia Syabda Perkasa Belawa dilaporkan meninggal dunia dalam satu kemalangan di Tol Pemalang, Jawa Tengah pada Isnin semalam.

Lapor Tribun News, tragedi itu turut mengorbankan ibunya, Anik Sulistyowati, 48 tahun yang berada dalam kereta tersebut.

Berita menyayat hati itu dimaklumkan oleh Persatuan Bulu Tangkis Seluruh Indonesia (PBSI) di akaun rasmi di Twitter.

Innalillahi wa inna ilaihi raji’un. Pihak PBSI merakamkan ucapan takziah atas pemergian salah seorang atlet muda Indonesia, Syabda Perkasa Belawa yang berusia 21 tahun,” katanya.

Ketua Perhubungan Awam Jawa Tengah,  Iqbal Alqudusy berkata, Syabda dirawat di hospital sebelum disahkan meninggal dunia.

Sebelum terbabit dalam kemalangan maut itu, Toyota Camry yang dibawa oleh ayahnya memandu dari arah barat ke timur pada pagi Isnin.

Iqbal Alqudusy berkata pemandu disyaki memandu dalam keadaan mengantuk hingga menyebabkan kereta itu merempuh sebuah lori yang berada di hadapannya.

Susulan itu, kereta tersebut mengalami kerosakan teruk akibat berlanggar dengan lori terbabit.

BACA: Motor Terbabas, Suami Isteri & Bayi Dalam Kandungan Dilapor Maut

Kronologi kejadian

Kejadian berlaku sewaktu Syabda dan ibunya dalam perjalanan untuk memberi penghormatan terakhir kepada neneknya yang baru sahaja meninggal dunia ketika itu.

Syabda bersama ahli keluarganya menaiki kereta jenis Toyota Camry semasa dalam perjalanan ke tempat terbabit.

Dalam kemalangan itu, dua adik-beradiknya yang lain terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan.

Mereka adalah Diana Sakti Anistyawati, berusia 25 tahun dan Tahta Bathari Cahya Loka berumur 11 tahun.

Difahamkan Diana hanya mengalami lebam di mata kanan manakala Tahta patah kaki kirinya.

Bapa Syabda yang memandu kereta itu juga selamat dan hanya mengalami luka di pelipisnya.

Bekas atlet badminton Yuni Kartika turut memaklumkan kepada orang ramai mengenai kematian Syabda di Twitter.

Syabda merupakan pemain badminton yang berpotensi dalam perseorangan lelaki dan pernah menang dalam Piala Thomas 2022.

Dia turut meraih gelaran juara dalam Cabaran Antarabangsa Iran Fajr.

Sumber: Tribun News

BACA: Baru Sampai Tempat Percutian, Warga Emas Dilapor Maut Akibat Serangan Jantung

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana