Siakap Keli
kerajaan kwsp rafizi
Kredit: BERNAMA

Tidak Benar Keluar KWSP, Kerajaan Bertanggungjawab Lindungi Rakyat – Rafizi

Tidak Benar Keluar KWSP, Kerajaan Bertanggungjawab Lindungi Rakyat – Rafizi

KUALA LUMPUR, 3 April (Bernama) — Kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk melindungi rakyat terutamanya golongan yang berisiko seperti pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang tidak mempunyai simpanan mencukupi untuk hari tua.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata oleh sebab itu kerajaan tidak membenarkan permohonan untuk mengeluarkan caruman KWSP secara bersasar.

Beliau berkata walaupun tuntutan ini jika dibenarkan boleh dilihat sebagai satu program kerajaan yang sebenarnya tidak melibatkan wang atau usaha kerajaan, tetapi akan mengurangkan simpanan hari tua daripada caruman rakyat sendiri.

“Apabila dana KWSP menyusut, ini akan mengehadkan keupayaan KWSP untuk mempelbagaikan dan mengukuhkan strategi pelaburan demi mendapat keuntungan yang lebih baik.

“Ini akan membawa kesan kepada pencarum-pencarum lain walaupun mereka tidak mengeluarkan caruman KWSP kerana jika pulangan secara keseluruhannya rendah, maka pencarum-pencarum lain pun akan turut menanggung kesan itu,” katanya menerusi hantaran video di laman Instagram hari ini.

Rafizi berkata tindakan kerajaan sebaliknya ialah untuk menambahkan lagi caruman dan simpanan hari tua kepada pencarum dan bukannya membenarkan pengeluaran seperti yang dituntut segelintir pencarum.

BACA: Perjuangkan Pengeluaran Khas KWSP, Lelaki Nekad Jalan 340km Dari JB Ke Istana Negara

“Oleh sebab itu kerajaan memilih jalan yang memberi kebaikan kepada semua pihak, bukan memilih jalan singkat yang akan meninggalkan masalah kepada pemimpin lain pada masa hadapan untuk diselesaikan,” katanya.

Rafizi berkata demikian mengulas tindakan Ahli Parlimen pembangkang bertindak keluar dewan selepas tidak berpuas hati apabila permintaan untuk membahaskan isu pengeluaran KWSP bersasar ditolak pada permulaan persidangan Dewan Rakyat pagi tadi.

Ahli Parlimen pembangkang keluar Dewan Rakyat, protes tidak bahas isu KWSP

Terdahulu, media melaporkan Wan Ahmad Fayhsal sebelum itu bangkit membawa perkara berkenaan di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) meminta kebenaran untuk membahaskan perkara itu kerana ia berkaitan dengan kepentingan orang ramai dan memaklumkan permohonannya membawa usul berkenaan pagi ini telah ditolak pejabat Dipertua Dewan Rakyat, Jumaat lepas.

“Usul berkenaan telah ditolak dengan alasan bahawanya Menteri Kewangan dan timbalannya telah menjelaskan berhubungan pengeluaran bersasar ini.

“Tetapi saya mendapat banyak pandangan dan keresahan daripada rakyat bahawa penjelasan dan ulasan daripada menteri dan timbalan menteri kewangan baru-baru ini tidak memuaskan, jadi izinkanlah kami untuk bahas perkara ini hari ini dengan berbaki dua hari lagi tamat sesi persidangan,” katanya.

Bagaimanapun Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Alice Lau Kiong menolak perkara itu dan memaklumkan mengikut Peraturan Mesyuarat 43 keputusan Speaker adalah muktamad dan sekiranya tidak berpuas hati, usul itu boleh dikemukakan sekali lagi.

Sumber: BERNAMA

BACA JUGA: Tempat ‘Favourite’ Mak-mak Beli Perabot, CEO Jawab Kenapa Jenama Terkenal Courts Mammoth Tukar Nama Jadi COURTS Malaysia

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana