Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Klinik Kesihatan Pengkalan Chepa Terbakar 80 Peratus, Empat Bilik Musnah
KOTA BHARU, 13 April (Bernama) — Klinik Kesihatan Pengkalan Chepa di sini terbakar 80 peratus akibat kebakaran empat buah bilik dalam kejadian pada pukul 12.26 tengah malam, semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Chepa PKPgB Alam Nasut Ilias berkata Pasukan Keluaran Operasi (PKO) tiba di lokasi pada 12.33 tengah malam dan mendapati empat buah bilik iaitu bilik pemandu ambulans serta tiga bilik pemeriksaan doktor (pesakit luar) di klinik kesihatan berkenaan hangus dijilat api.
“Seramai 17 anggota termasuk bantuan daripada BBP Kota Bharu terlibat dalam operasi pemadaman kebakaran dan api berjaya dikawal sepenuhnya pada 2.18 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata tiada mangsa terlibat dan punca kebakaran masih dalam siasatan.
BACA: 20 Jemaah Umrah Maut, Bas Ke Mekah Terlibat Kemalangan, Terbalik & Terbakar

Sebelum ini, media melaporkan salah satu ruang di Jabatan Farmasi Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Negeri Sembilan dilaporkan terbakar pada khamis.
Memetik laporan Sinar Harian, suasana panik menyelubungi ketika kejadian tersebut berlaku.
Bagaimanapun, ia tidak menyebabkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.
Menurut Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan, Datuk Harlina Abdul Rashid, kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 4.05 petang.
“Pasukan keselamatan hospital dan petugas hospital bertindak pantas membantu mengawal kebakaran sementara menunggu ketibaan pihak bomba.
“Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Jalan Rahang berjaya memadamkan api di lokasi kejadian dan tiada sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa membabitkan kakitangan dilaporkan dalam insiden ini,” katanya.
Tambahnya lagi, siasatan lanjut mengenai punca kebakaran sedang dijalankan oleh JBPM.
Sementara itu, Komander Operasi, Penguasa Bomba Kanan II Hamlan Ishak berkata kejadian itu memusnahkan 20 peratus ruangan di bilik berkenaan, lapor Astro Awani.
“Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan pukul 4.16 petang yang mana kebakaran ini melibatkan sebuah bilik kecil di Jabatan Farmasi HTJ.
“Kira-kira 20 peratus daripada bilik simpanan barang di bahagian farmasi yang berukuran 4 x 20 kaki itu telah terbakar,” katanya ketika dihubungi Astro Awani.
Sumber: BERNAMA